top of page

Penghantaran bantuan kemanusiaan ke Palestin 3.0 tiba di Mesir

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 20, 2023
  • 1 min read


Oleh: Abdullah Zaid


Barang bantuan kemanusiaan untuk Palestin melalui Ops Ihsan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa El-Arish, Mesir, pada jam 7.50 pagi waktu tempatan, semalam.


Sekretariat Ops Ihsan dalam satu kenyataan memaklumkan, penghantaran kali ketiga itu mengambil masa penerbangan hampir 11 jam dengan kekuatan 10 kru, termasuk dua petugas media itu tiba kira-kira sejam lebih awal daripada jangkaan ketibaan asal.


Jelasnya, ketibaan pesawat sewaan khas A330-200 MAS Kargo itu disambut pegawai Pengendalian Darat Lapangan Terbang Antarabangsa El-Arish bersama pegawai Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.


"Proses membawa keluar barangan dari perut pesawat mengambil masa selama kira-kira tiga jam.


"Barangan diterima oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir itu kemudian akan dibawa masuk ke Gaza melalui sempadan Rafah sebelum diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin yang bertanggungjawab menguruskan proses agihan kepada hospital-hospital dan masyarakat Gaza yang memerlukan," kata kenyataan berkenaan.


Penghantaran tersebut membawa sejumlah 60 tan barangan bantuan berupa ubat-ubatan, peralatan perubatan, makanan, keperluan bayi dan wanita, serta keperluan musim sejuk yang bernilai RM3 juta.


Sementara itu Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari, dalam kenyataan sama menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua yang terbabit sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam usaha penghantaran bantuan kali ini.


Katanya, usaha kolektif dan bersepadu antara Kementerian Luar, agensi-agensi kerajaan serta lebih 60 badan bukan kerajaan dan semangat rakyat Malaysia, adalah faktor utama kejayaan Ops Ihsan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page