Penggunaan Kaedah 137 ke atas Amir Hadi perundangan yang sah - AMK


Oleh: Akmal Manaf
Biro Guaman & Aduan Awam Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia tampil mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang dengan menegaskan penggunaan Kaedah 137 merupakan mekanisme perundangan yang sah dan terhad, dan tidak wajar dipolitikkan atau dikaitkan dengan campur tangan eksekutif dalam agenda reformasi negara.
Ketuanya, Khairul Naim Rafidi (gambar) berkata, AMK mengiktiraf pengalaman aktivis politik, Amir Hadi melalui proses perbicaraan yang panjang serta keputusan Mahkamah Persekutuan pada 1 Julai 2025 yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai tidak berperlembagaan, yang kekal sebagai satu pencapaian penting dalam perkembangan undang-undang Perlembagaan negara.
Bagaimanapun, katanya, Jabatan Peguam Negara berhak mengemukakan permohonan semakan di bawah Kaedah 137, Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan.
"Dari sudut undang-undang perlu diperjelaskan bahawa Kaedah 137 merupakan peruntukan yang sah dan bersifat amat terhad, yang memberi kuasa kepada Mahkamah Persekutuan, dan Mahkamah Persekutuan sahaja, untuk mempertimbangkan semakan dalam keadaan yang benar-benar luar biasa.
"Permohonan di bawah Kaedah 137 bukan satu rayuan semula dan tidak membenarkan Mahkamah menilai semula merit keputusan, dapatan fakta atau tafsiran undang-undang yang telah diputuskan.
"Prinsip ini selari dengan doktrin finaliti litigasi, iaitu bahawa sesuatu pertikaian undang-undang mesti sampai ke noktah penamat. Kaedah 137, dibaca bersama kuasa sedia ada (inherent powers) Mahkamah, hanya boleh digunakan bagi mencegah ketidakadilan serius atau penyalahgunaan proses mahkamah, seperti pelanggaran keadilan asasi atau kewujudan ‘bias’.
"Penentuan sama ada ambang undang-undang yang sangat tinggi ini dipenuhi adalah kuasa mutlak Mahkamah Persekutuan," kata beliau dalam kenyataan.
Oleh itu kata Khairul, tindakan memfailkan permohonan semakan di bawah Kaedah 137 itu tidak boleh dengan sendirinya ditafsirkan sebagai usaha untuk menghidupkan semula pendakwaan atau sebagai campur tangan eksekutif.
Tegas beliau lagi, mengaitkan permohonan undang-undang itu secara langsung dengan Perdana Menteri (PM) pula tidak selari dengan prinsip pengasingan kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan.
"AMK berpandangan reformasi yang sebenar menuntut penghormatan terhadap proses undang-undang yang sah serta kesediaan untuk membenarkan institusi kehakiman menjalankan fungsinya secara bebas, profesional dan berperlembagaan, walaupun dalam situasi yang mencabar dan sensitif.
"Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal komited terhadap reformasi institusi, kebebasan kehakiman dan perlindungan hak asasi, dan perbezaan pandangan politik tidak wajar dijadikan asas untuk mendakwa bahawa keseluruhan agenda reformasi telah dikhianati selagi proses undang-undang masih berjalan dan tertakluk sepenuhnya kepada keputusan Mahkamah," katanya lagi.
Pada 1 Julai 2025, Mahkamah Majistret membebaskan bekas Setiausaha Agung Muda, Amir Hadi, daripada pertuduhan gagal memaklumkan kepada polis lima hari lebih awal penganjuran satu perhimpunan pada 2022.
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan pada waktu itu membuat keputusan selepas dimaklumkan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman, peruntukan yang mana Amir didakwa, telah dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan.
Mahkamah Persekutuan sebelum itu sebulat suara memutuskan bahawa tindakan menghukum individu yang gagal memaklumkan kepada polis lima hari lebih awal sebelum mengadakan perhimpunan aman adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.




Comments