Penggunaan 'autogate' di pintu imigresen diperluaskan kepada 36 negara
- Suara Keadilan

- May 17, 2024
- 2 min read

Kerajaan memperluaskan lagi kemudahan sistem pagar automatik bagi pelepasan imigresen kepada pengembara dari 36 negara berkuat kausa pada 1 Jun ini sebagai langkah mengatasi kesesakan di pintu masuk utama, kata Menteri Dalam Negeri.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah tersebut merupakan inisiatif Jabatan Imigresen bagi melancarkan proses ketibaan pengembara warga asing sekali gus merancakkan sektor pelancongan ketika negara ini menerima lonjakan kemasukan 40 juta pelancong asing sepanjang tahun lalu hingga April.
"Sebanyak 36 buah negara itu termasuk kesemua negara dari Kesatuan Eropah iaitu Austria, Republik Czec, Denmark, Estonia, Cyprus, England, Perancis, Greece, Hungary, Ireland, Itali, Latvia dan beberapa buah negara lagi.
"Ia juga termasuk Bahrain, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Jordan, Oman dan Qatar selain China, Kanada, Hong Kong dan Taiwan," katanya dipetik pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) 2023 di Putrajaya semalam.
Tahun lalu sebanyak 10 negara berisiko rendah iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Australia, New Zealand, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Brunei dan Arab Saudi dibenarkan menggunakan kemudahan pagar automatik (autogate) tersebut.
Saifuddin berkata, penggunaan pagar automatik hanya mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 saat untuk ia merekodkan maklumat berkaitan warga asing yang masuk ke negara ini.
"Saya yakin inisiatif ini membolehkan pemeriksaan imigresen di pintu masuk akan dapat dipermudah dan dipercepatkan, mereka (pengembara) tidak perlu beratur, semua butiran diproses di pintu masuk termasuk pengecaman wajah tanpa kompromi elemen keselamatan.
"Kemudahan itu juga diberikan kepada kakitangan diplomatik yang bekerja di Malaysia serta ahli keluarga mereka," katanya.
Saifuddin Nasution berkata berdasarkan rekod seramai 30.5 juta pelancong tiba melalui dua pintu masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dan tambak Johor pada tahun lalu, makan menjadi tanggungjawab kementerian untuk memastikan urusan ketibaan berjalan lancar.
"Jadi ikhtiar yang dilakukan tahun lepas bagi melegakan kesesakan ketibaan pesawat yang berturut-turut terutama pada waktu puncak antara pukul 2 petang hingga 10 malam, lapangan terbang menjadi sesak.
"Untuk hadapi ketibaan pengembara yang angkanya menunjukkan lonjakan tinggi, KDN umumkan lagi 36 buah negara boleh juga pakai autogate, dia boleh pilih sama ada hendak beratur (guna kaunter pemeriksaan imigresen) atau melalui autogate," katanya.
Jelas beliau inisiatif tersebut juga merupakan satu langkah awal untuk mempersiapkan proses ketibaan lebih ramai diplomat asing memandangkan Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun depan.
Katanya mobiliti diplomat dari negara ASEAN dan negara lain akan meningkat memandangkan mesyuarat di peringkat menteri dan pegawai lebih kerap bakal berlangsung di negara ini.
"Kita berpendapat proses imigresen tidak boleh lagi bertahan dengan ssitem sedia ada, mesti proaktif dengan cuba meneroka sistem lain yang akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.









Comments