Pengerusi PN: Pas Ibarat ‘Akademi Fantasia’, berteka-teki walau ada berlori calon?
- Suara Keadilan
- 11 hours ago
- 2 min read

Polemik dalaman Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin panas apabila parti terbesar, Pas masih berteka teki dalam menamakan calon pengerusi gabungan itu bagi menggantikan Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keupayaan parti Islam berkenaan memimpin pakatan politik.
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Faiz Fadzil (gambar) menyifatkan situasi terkini ibarat program realiti televisyen Akademi Fantasia yang penuh teka-teki dan spekulasi.
"Teka-teki ini ibarat program realiti tv ‘Akademi Fantasia’ yang dahulunya ditunggu-tunggu penonton setiap minggu untuk melihat siapa bakal terkeluar.
"Sedangkan dalam keadaan bıasa, presıden parti yang akan mengetuai sesuatu pakatan dan seterusnya akan dinamakan sebagai calon Perdana Menterı (PM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Faiz, keadaan itu mencerminkan kelemahan Pas sebagai parti dominan dalam PN walaupun sebelum ini mendakwa mempunyai ramai calon Perdana Menteri.
"Walaupun begitu ramaı calon yang boleh menjadi PM sehingga ‘4 lori’ seperti mana madah Mursyidul Am Pas tiga bulan yang lalu, tetapi sampai sekarang Pas masih tercari-cari (calon Pengerusi PN) di dalam kegelapan," ujarnya.
Beliau mendakwa hakikat sebenar menunjukkan Pas hanya kuat dalam lingkaran dalaman parti namun gagal memimpin sebuah pakatan politik yang besar.
Mengulas soal kestabilan politik, Faiz menegaskan struktur pentadbiran negara menuntut ketua parti memimpin kerajaan atau sekurang-kurangnya memainkan peranan utama dalam kepimpinan eksekutif.
"Dalam struktur pentadbiran negara, adalah penting ketua parti mengetuai sesuatu pakatan dan kerajaan bagi mewujudkan kestabilan politik. Contoh mudah, ketika Datuk Seri Ismail Sabri (Naib Presiden UMNO) sebagai PM pada ketika beliau bukanlah seorang Presiden parti dan Presiden parti (Zahid Hamidi) pada ketika itu tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kerajaan, kerajaan pimpinan beliau rapuh dan tidak stabil
"Namun jika dilihat kepada Kerajaan Perpaduan sekarang, ia jauh lebih stabil apabila Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Zahid terlibat dalam Jemaah Menteri sebagai Timbalan PM," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan kegagalan Pas menamakan Presiden Pas sebagai Pengerusi PN bukan sahaja menjejaskan kestabilan dalaman gabungan tersebut, malah memberi isyarat negatif kepada pengundi menjelang pilihan raya umum.
Dalam masa sama, Faiz menegaskan beliau masih menghormati Presiden Pas, Hj Abdul Hadi Awang, dan menganggap tiada tokoh ulama lain dalam Pas yang setanding dengannya.
"Pas mendakwa perjuangan mereka adalah menegakkan Islam, maka kepimpinan ulama perlu diteruskan. Tetapi, Pas tiada tokoh ulama sehebat Tan Sri Abdul Hadi Awang," katanya.
Faiz turut mengingatkan bahawa usaha seperti pindaan Akta 355 yang pernah diperjuangkan Pas pada 2017 merupakan idea Presiden Pas itu sendiri dan mencerminkan naratif perjuangan Islam parti itu.
"Apabila Pas meminggirkan presiden bertaraf ulama ini, maka tiada lagi erti perjuangan Islam yang mampu dibawa Pas," katanya lagi.





