Pengendali bot, e-hailing dipertimbang kaedah khas subsidi BUDI95
- Suara Keadilan

- Sep 30
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan Madani sedang mempertimbangkan sektor perekonomian tertentu untuk menggunakan kaedah khas bagi memperolehi petrol bersubsidi di bawah inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95).
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) pihak kerajaan, terutamanya Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan bekerjasama dengan Penyedia Perkhidmatan E-Hailing (EHO) bagi mengenal pasti pemandu dalam sektor itu yang layak menerima tambahan subsidi petrol di bawah inisiatif bantuan bersasar.
Begitu juga dengan pengusaha bot enjin sangkut pengangkutan air di Sabah dan Sarawak yang mendakwa keciciran dalam menerima subsidi di bawah BUDI95.
''Kerajaan juga telah bersetuju mempertimbangkan supaya pengendali bot terutamanya di Sabah dan Sarawak layak untuk harga subsidi.
''Kerajaan sedang bekerjasama dengan agensi dan kerajaan negeri bagi mengumpulkan data pemilik bot supaya pengguna tersebut tidak tercicir daripada menikmati kelebihan harga subsidi BUDI95,'' maklum MOF.
Mulai 30 September ini, BUDI95 membolehkan warganegara Malaysia menikmati harga bersubsidi petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter, manakala harga runcit RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter.
Di bawah program BUDI95, rakyat dapat menikmati manfaat subsidi sebanyak RM0.61 seliter, dan berdasarkan had kelayakan 300 liter, manfaat subsidi tersebut dapat mencecah RM183 sebulan bagi setiap individu.









Comments