Pengeluaran tanaman negara naik 2.3% pada 2024 – Mohamad Sabu
- Suara Keadilan
- 4 minutes ago
- 1 min read

Pengeluaran tanaman negara mencatat peningkatan keseluruhan sebanyak 2.3 peratus pada tahun 2024 berbanding 2023, sekali gus menunjukkan usaha berterusan Kerajaan Madani dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar) berkata, data Jabatan Pertanian menunjukkan jumlah pengeluaran tanaman pada 2024 mencecah 6,406.8 ribu tan metrik, meningkat daripada 6,260 ribu tan metrik pada tahun sebelumnya, tidak termasuk pengeluaran bunga-bungaan.
Peningkatan ketara direkodkan dalam subsektor sayur-sayuran yang melonjak 15.0 peratus, diikuti buah-buahan meningkat 4.2 peratus, herba dan rempah ratus naik 3.7 peratus, serta tanaman industri bertambah 0.8 peratus, jelasnya.
Namun, beliau berkata terdapat penurunan dalam beberapa subsektor utama termasuk padi yang susut 5.3 peratus dan tanaman kontan yang menurun 0.8 peratus, manakala pengeluaran bunga-bungaan berkurang 0.9 peratus.
Mohamad berkata kementeriannya sedang melaksanakan langkah penambahbaikan secara berterusan bagi meningkatkan produktiviti sektor pertanian, khususnya melalui pemodenan ladang, penggunaan teknologi serta sokongan berfokus kepada petani dan pesawah.
"Peningkatan ini membuktikan sektor pertanian negara berada pada landasan yang betul, walaupun berdepan cabaran perubahan iklim dan kos input," katanya dalam hantaran di media sosial.
Beliau berkata, kementerian kekal memberi keutamaan kepada kestabilan bekalan makanan dan kebajikan pengeluar makanan negara.
"Fokus kementerian adalah memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi, stabil dan mampu milik, di samping meningkatkan pendapatan petani dan pesawah," katanya.





