Pengangguran cecah 1 juta, pencarun KWSP makin kurang simpanan hari tua




Kerajaan 'tebuk atap' Perikatan Nasional (PN) seolah-olah tiada jalan penyelesaian terhadap kemelut pengangguran yang semakin meningkat dan jumlah terkini mencecah hampir sejuta orang.


Bagi Bendahari Agung KEADILAN Lee Chean Chung, kenyataan Jabatan Perangkaan bahawa Kadar Pengangguran pada bulan April melonjak kepada 5%, peningkatan sebanyak 49% atau bersamaan dengan 778,000 orang berbanding dengan April tahun 2019 amat membimbangkan.


Begitu juga, Laporan berita The Edge yang menganggarkan 38.6 % pencarum atau bersamaan dengan 2.8 juta pekerja tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk membuat pengeluaran RM 500 lebih daripada satu tahun.


Menurut Chean Chung, dalam laporan berkenaan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias menyatakan kebimbangan kerana dalam tempoh 2 bulan sahaja, ramai pencarum telah menghabiskan simpanan Akaun 2 mereka.


"Malangnya, kadar pengangguran hari ini merupakan tertinggi dalam tempoh 30 tahun, dan menandingi kesan Krisis Kewangan Asia 1998.

"Selain itu, jangan kita lupa setiap tahun lebih 300,000 graduan akan memasuki pasaran kerja. Golongan penganggur dijangka lebih ramai apabila dicampur graduan ini dan mungkin mencecah 1 juta orang dalam beberapa bulan akan datang.


"Kesan yang serius turut dilihat kepada corak simpanan pencaruman KWSP. Sudah dua pertiga daripada pencarum tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk persaraan.


"Selepas kerajaan membenarkan mereka membuat pengeluaran daripada Akaun 2 serta menurunkan kadar caruman daripada 11% kepada 8%, situasi akan menjadi lebih kritikal selepas krisis Covid 19 ini. Malangnya, seramai 5 juta pencarum mungkin tidak dapat menikmati kehidupan persaraan yang bermaruah dan terancang," kata Chean Chung dalam satu kenyataan.


Sehubungan itu, ADUN Semambu tersebut menyeru agar kerajaan PN segera mencari jalan penyelesaian ke atas masalah tenaga buruh Malaysia. Chean Chung mempertikaikan sikap berebut kuasa PN ketika ini sehingga parti-parti komponennya sibuk mendesak Parlimen dibubarkan dan mengadakan pilihan raya umum mengejut bagi mengembalikan pemimpin BN ke kedudukan Perdana Menteri.


"Daripada sibuk merancang piilhan raya mengejut atau mengagihkan habuan jawatan GLC kepada ahli-ahli parlimen mereka, Kerajaan PN sewajarnya memberikan tumpuan kepada simpanan persaraaan ahli KWSP yang semakin berkurangan disebabkan pengeluaran untuk mengharungi PKP.


"Selain daripada skim PENJANA yang sedia ada, PN perlu mempelbagai strategi pemulihan ekonomi bagi mengelakkan kadar pengangguran terus meninggi.


"Pada masa yang sama, unjuran KWSP perlu disemak semula dari semasa ke semasa berserta dengan strategi yang agresif untuk menangani cabaran tersebut.


"Jangan bebankan rakyat sehingga mereka terpaksa menanggung kesan ini apabila telah bersara dan uzur," katanya lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio