top of page

Pengampunan Najib: Perang terhadap rasuah tidak terjejas - Anwar

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
6 hours ago
2 min read
DS Anwar beramah mesra bersama jemaah Surau Nur Perdana, Presint 10, Putrajaya sebelum ditemuramah media berhubung pembebasan DS Naiib Razak
DS Anwar beramah mesra bersama jemaah Surau Nur Perdana, Presint 10, Putrajaya sebelum ditemuramah media berhubung pembebasan DS Naiib Razak

Keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri (PM) Najib Razak tidak menjejaskan pendirian kerajaan untuk terus mengambil tindakan terhadap kes rasuah dan salah guna kuasa.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai ketua kerajaan beliau bertanggungjawab memberikan nasihat berhubung implikasi undang-undang dan prinsip negara hukum kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum keputusan berhubung pengampunan dibuat.


"Saya selaku Perdana Menteri, tugas saya memberi nasihat tentang implikasi undang-undang, kestabilan negara, soal prinsip negara hukum dan mengikuti nasihat dan panduan lengkap yang ditulis oleh Peguam Negara.


"Tetapi akhirnya Perlembagaan menetapkan kuasa Yang di-Pertuan Agong (untuk beri pengampunan), dan saya harap kita terima baik," katanya.


Kenyataan itu dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan syarat-syarat yang ditetapkan.


Menurut Anwar, keputusan berkenaan tidak bermakna kerajaan akan berkompromi dalam usaha membanteras rasuah atau salah guna kuasa.


"Tetapi selain daripada itu saya nak tegaskan prinsip negara hukum, keputusan kita mengambil tindakan kepada semua kes rasuah tidak terjejas.


"Ini tidak bermakna negara harus tunduk kepada amalan penyakau dan rasuah," ujarnya.


Beliau berkata, semua kes rasuah perlu terus diproses mengikut landasan undang-undang, termasuk kes melibatkan Najib yang masih dalam proses kehakiman.


"Saya nak tegaskan semua kes, sama ada ke atas Datuk Seri Najib yang sedang berjalan, harus berjalan ikut landasan. Begitu juga kes lain dalam soal rasuah," katanya.


Anwar turut menyeru sokongan rakyat bagi memastikan Malaysia terus berpegang kepada prinsip negara hukum dan tidak mengambil ringan sebarang salah laku atau penyalahgunaan kuasa.


"Negara ini mesti diselamatkan dan kita perlu ketegasan dan dukungan semua rakyat dalam menentukan ini negara hukum, negara ini tidak lagi anggap ringan apa-apa salah laku ataupun salah guna kuasa untuk memperkayakan mana-mana pemimpin atau mana-mana rakyat. Ini pendirian kita," katanya.


Keputusan pengampunan bersyarat itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 di Istana Negara pada pagi tadi.


Untuk rekod, Najib bukan sahaja menjalani hukuman bagi kes SRC International, malah turut mempunyai kes 1MDB yang melalui proses rayuan.


Najib pada Disember 2025 dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion selepas disabitkan atas empat pertuduhan salah guna kuasa serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB. Rayuan terhadap keputusan itu difailkan pada 29 Disember 2025.


Bagi kes SRC International pula, Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta atas penyelewengan RM42 juta dana SRC International.


Hukuman itu kemudian dikurangkan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta menerusi keputusan Lembaga Pengampunan pada Januari 2024.


Dengan keputusan terbaharu itu, Najib kini dibenarkan menjalani baki hukuman SRC International di bawah tahanan rumah, tetapi pengampunan tersebut bersifat bersyarat.


Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri menyatakan sekiranya mana-mana syarat dilanggar, pengampunan itu terbatal dan Najib perlu kembali menjalani baki hukuman di penjara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page