
Isu pengambilan Tanah Adat di Sarawak seharusnya diselesaikan oleh Kerajaan Perpaduan memandangkan hal berkenaan telah berlanjutan berdekad lamanya dan merugikan penduduk pribumi.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, Roland Engan, rintihan rakyat yang terkesan akibat penghapusan hak Tanah Adat dan pengambilan Tanah Adat oleh Kerajaan Sarawak memerlukan tindakan lanjut dari pihak kerajaan.
"Rintihan yang banyak diterima ialah berkenaan tempoh 60 hari mengikut Seksyen 5(3) dan 5(4) untuk mengemukakan tuntutan gantirugi akibat penghapusan hak Tanah Adat dan pengambilan Tanah Adat oleh Kerajaan Sarawak.
"Tambahan pula, notis arahan Menteri berkenaan untuk menghapuskan hak Tanah Adat dan mengambil-alih Tanah Adat adalah sangat tidak praktikal apabila diiklankan dalam satu surat khabar tempatan sahaja dan dipamerkan di papan kenyataan Pejabat Tanah dan Ukur Bahagian atau Pejabat Daerah berdekatan," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Roland mencadangkan pindaan undang undang dibuat bagi memberi lebih keadilan kepada penduduk yang terlibat dalam sebarang proses pengambilan Tanah Adat.
"Tempoh munasabah untuk membuat tuntutan seharusnya ditambah sehingga sekurang-kurangnya 90 hari dari tarikh notis dipamerkan berbanding tempoh sekarang iaitu 60 hari dari tarikh Arahan Menteri dikeluarkan
"Notis Arahan Menteri Menghapuskan Hak Tanah Adat dan Mengambil alih Tanah Adat untuk tujuan awam iaitu pembangunan yang konstruktif mesti dipamerkan juga di kampung dan kawasan tapak tanah yang terkesan
"Selain itu, arahan Menteri tersebut mesti dihebahkan melalui media perdana seperti televisyen dan radio resmi, diikuti dengan dialog segera diadakan oleh pihak Jabatan Tanah dan Servei dengan segera bersama penduduk kampung," katanya lagi.
Bagi Roland Engan, pindaan undang undang yang dicadangkan itu kecil berbanding perjuangan KEADILAN Sarawak yang menyatakan hak Tanah Adat tidak patut dihapuskan dan diambil-alih oleh Kerajaan.
Hak Tanah Adat, katanya, sepatutnya "not extinguishable and not resumable by State Government'. Jika Kerajaan inginkan tanah berkenaan untuk tujuan pembangunan maka Tanah Adat tersebut perlu dipajak oleh pihak Kerajaan daripada pemiliknya.
Comentarios