Hari Raya Aidilfitri tahun ini berbeza dengan sebelumnya di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan kerana menerapkan konsep berbeza iaitu mengutamakan pembelaan rakyat marhaen.
Bagi Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Razeef Rakimin, konsep Madani memberi erti maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan. Selain itu, ia juga memberi makna usaha membentuk masyarakat dengan menyemai nilai-nilai murni kekeluargaan ke arah membina masyarakat bertamadun yang amat baik disokong sekelian rakyat.
"Sepanjang negara di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan ini jelas dilihat nilai-nilai tersebut diamalkan dalam pentadbiran. Bermula dengan reformasi pentadbiran, pengenalan menu dan harga Rahmah serta usaha memastikan harga barang terkawal selepas naik mendadak sebelum ini di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional.
"Kelmarin sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian bayaran tol bagi semua jenis kenderaan selama empat hari di kesemua 33 lebuhraya.
"Kerajaan juga memberikan cuti peristiwa tambahan, kadar khas bayaran saman sebanyak RM50 bagi kesalahan tahun 2022 dan sebelumnya serta diskaun khas buat pengusaha Menu Rahmah serta banyak lagi pengumuman lain," katanya dalam perutusan sempena Aidilfitri.
Bagaimanapun, menurut Razeef, pengumuman yang sangat menyentuh hati adalah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) bagi memberi peluang kepada penghuni penjara merayakan Aidilfitri bersama keluarga tercinta.
Kerajaan juga katanya, amat prihatin dengan rakyat marhaen dengan memberi bantuan khas Aidilfitri bagi meringankan beban rakyat di semua peringkat.
"Antara bantuan baharu yang diberi adalah bantuan untuk Pesawah Padi sebanyak RM400, Nelayan RM500 serta Pekebun Kecil Getah sebanyak RM1,000.
"Manakala bantuan yang dinaikkan adalah Bantuan Khas Aidilfitri Penjawat Awam sebanyak RM700 yang sebelum ini hanya RM500 serta bantuan khas Aidilfitri untuk pesara awam sebanyak RM350 yang sebelum ini hanya RM250.
"Saya yakin rakyat akan sangat terkesan dengan keprihatinan pemimpin hari ini. Dengan memaknai slogan Malaysia MADANI, negara berada di landasan tepat menuju sebuah negara sejahtera," katanya lagi.
Comments