Penduduk Kg Sungai Baru mahu runding semula pembangunan, usahasama dengan pemaju
- Redzuan Shamsudin
- Apr 17, 2022
- 2 min read

Penduduk Kampung Sungai baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur yang terlibat dengan pengusiran paksa oleh kerajaan mahu rundingan semula dibuat dengan pemaju.
Menurut Timbalan Presiden Otai Reformasi 1998, Mustapa Mansur Amer Mohd Isa yang menemui ahli jawatankuasa bertindak penduduk kawasan tersebut, rundingan semula amat perlu diadakan kerana kawasan tersebut yang kini dimiliki penduduk akan menjadi hak milik pemaju selepas ini.
"Ada beberapa persoalan untuk dimudah cara. Kami di sini untuk memberi sokongan dari apa yang dimuat naik dalam change.org, sebuah portal yang memberi servis kepada segala protes di seluruh dunia.
"Penduduk Kg Sungai Baru tak menolak pembangunan tetapi wajar menjaga sosio ekonomi dan kewangan penduduk.
"Maknanya isu yang sangat penting kepada penduduk ini ialah mempertahankan nasib mereka. Pemaju kata ini usaha sama tetapi berat sebelah dan untungkan pemaju.
"Perbadanan Pembangunan Kampung Baru sepatutnya memihak kepada penduduk bukannya pemaju," kata Mustapa membacakan petikan luahan rasa hati penduduk terlibat.
Beliau juga mempersoalkan tawaran yang diberikan pihak pemaju kepada penduduk yang tidak munasabah memandangkan kawasan flat itu berhampiran bangunan KLCC yang harga hartanah amat tinggi di kawasan itu.
"Tawaran kepada penduduk tidak munasabah. Malah penduduk flat dan teres juga dilonggokkan di pangsapuri kawasan hujung, bukan kawasan utama.
"Kawasan berhadapan KLCC khas untuk pemaju bangunkan unit komersial dan kaut sebanyaknya keuntungan," kata Mustapa membaca luahan tersebut.
Tegas beliau lagi, Otai Reformis bersolidariti dengan para penduduk dan akan mempertahankan mereka walau apa pun terjadi.
"Itulah asas kepada solidariti kami. Kami datang sini untuk menyampaikan kepada seluruh rkayat bahawa apa yang berlaku kepada saudara kita di Sungai Baru ini adalah kezaliman dan ketidakadilan.
"Mereka sepatutnya diberi hak. Ini adalah warisan orang Melayu. Kalau tak ada warisan mana tapak orang Melayu, rumah, harta Melayu? Nanti pemimpin politik kata orang Melayu tak mahu jaga (warisan).
"Saya minta kepada penduduk kampung apa pun terjadi pertahankan. Sebagaimana tadi mereka minta tarik balik Akta Pengambilan Tanah dan adakan rundingan semula. Ada beberapa risiko perlu dibincang semula supaya hak orang Melayu di tengah KL tak hilang begitu sahaja," katanya dalam sidang media di Kg Sg baru petang semalam.
Commenti