Peneroka bandar di Kampung Jalan Peel, Kuala Lumpur mahu pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan kediaman gantian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada mereka sebelum bersetuju berpindah.
Memorandum rayuan tersebut diserahkan kepada Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran, kelmarin.
Menurut Praba, peneroka bandar di situ telah diminta berpindah oleh pemaju projek yang menawarkan pampasan sebanyak RM10,000.
"Sekarang selepas penduduk buat bantahan naik RM15,000. Di sini bukan soal pampasan. Mereka cakap mereka mahu rumah. Mereka mahu hak mereka diselamatkan oleh kerajaan.
"Kalau mereka tiada rumah. Ambil duit keluar, di mana mereka nak tinggal?
"Mereka hantar memorandum kepada saya, perkara pertama adalah isu perumahan dan mereka minta rumah PPR yang terdekat
"Di sini ada 126 penghuni. Cadangan mereka beri penempatan di PPR Bukit Jalil dan beberapa lokasi lain," katanya dalam sidang media di Kampung Peel, kelmarin.
Menurut Praba lagi, penduduk tersebut telah menang dalam saman di mahkamah kerana mereka mempunyai geran sementara (TOL), bermakna mereka adalah peneroka bandar yang sah.
Oleh itu, DBKL wajar mempertimbangkan dengan serius permohonan rumah buat mereka kerana peneroka bandar itu bukan penceroboh di tanah tersebut.
"Mereka (pemaju) saman penduduk di sini. Mereka dulu ada TOL, ada bukti mereka peneroka bandar yang sah. Mereka pajak dari kerajaan. Mereka menang kes.
"Saya sebagai Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Wilayah akan batu mereka untuk pastikan mereka dapat rumah sebelum rumah mereka dirobohkan.
"Isu kedua adalah pampasan. Saya akan duduk bincang dengan peguam yang kendalikan kes ini dan kita akan membantu penduduk di sini. Sebab kebanyakan penduduk di sini warga emas. Mereka tak dapat pembelaan dari kerajaan. Jadi saya selaku Ketua AMK Wilayah akan membela mereka," katanya.
Walaupun Kampung Jalan Peel terletak di dalam Parlimen Titiwangsa namun sebagai Ketua AMK Wilayah, Prabakaran akan memastikan nasib peneroka bandar yang sah tersebut dibela oleh DBKL dan kerajaan Perikatan Nasional.
Comentários