Pendigitalan perkhidmatan awam ke arah negara berpendapatan tinggi
- Suara Keadilan

- Jul 31
- 2 min read

Kerajaan MADANI komited untuk memperkukuh ekosistem tadbir urus negara menerusi reformasi menyeluruh dari segi perundangan, institusi, serta pendigitalan perkhidmatan awam demi mewujudkan pentadbiran yang cekap, telus dan berintegriti.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, reformasi tadbir urus itu akan digerakkan melalui pelaksanaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 yang memberi keutamaan kepada pengurangan beban kawal selia terhadap rakyat dan komuniti perniagaan, selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.
"Pembaharuan ini bukan hanya untuk memperkemas pentadbiran tetapi juga untuk memudahkan urusan rakyat dan memperkukuh keyakinan terhadap kecekapan kerajaan," kata Perdana Menteri ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebagai sebahagian daripada agenda pendigitalan perkhidmatan awam melalui inisiatif GovTech, katanya, kerajaan bakal memperkenalkan MyDigital ID sebagai identiti digital tunggal yang sahih dan selamat, membolehkan rakyat mengakses pelbagai kemudahan kerajaan secara dalam talian dengan lebih mudah dan selamat.
Kerajaan turut akan membangunkan gerbang tunggal sektor awam sebagai platform sehenti digital yang menyatukan perkhidmatan awam di bawah satu sistem mesra pengguna.
Di bawah inisiatif sama, sistem kehakiman termasuk Mahkamah Syariah juga akan dipertingkatkan melalui penambahbaikan sistem e-Syariah, perekodan prosiding, serta pelaksanaan projek Akademi Kehakiman Syariah Malaysia, yang dijangka meningkatkan kecekapan dan kelancaran proses perundangan negara.
Selain itu, kata PM, bagi memperkasakan bakat digital negara penjawat awam akan dilatih secara intensif dalam bidang teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), sebagai langkah memanfaatkan keupayaan analitik data raya (big data analytics) dalam pembuatan dasar dan penyampaian perkhidmatan.
Dengan sasaran 95% perkhidmatan kerajaan dilaksanakan secara dalam talian menjelang 2030, PM optimis bahawa Malaysia berada di landasan tepat untuk menjadi negara maju berpacukan digital.
"Kita yakin dengan pendekatan berfokus dan usaha berterusan, Malaysia mampu menempatkan diri dalam 20 terbaik dunia dalam Online Service Index (UN e-Government Development Index) dan kekal dalam Kategori A GovTech Maturity Index," katanya.
Reformasi digital dan institusi dijangka bukan sahaja meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam, malah memperkukuh ekosistem perniagaan, memperluas akses rakyat terhadap kerajaan, dan membawa Malaysia ke satu tahap baharu dalam tadbir urus moden berasaskan teknologi.









Comments