Pendidikan Timur Tengah: Lembaga Zakat Selangor Buat Keputusan Tepat
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 3 min read

Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Keputusan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Kerajaan Madani Selangor untuk tidak lagi meneruskan penajaan pendidikan kepada penuntut peringkat ijazah pertama ke Timur Tengah sepatutnya dipuji dan disokong.
Justifikasi yang diberikan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad terkait isu berkenaan adalah kerana wujud risiko penuntut terdedah kepada pengaruh yang mengganggu pemikiran serta jati diri sehingga terbabit dengan pemikiran ekstrim atau pelampau.
Justeru tajaan oleh LZS buat masa sekarang hanya diteruskan kepada penuntut peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah di Timur Tengah. LZS juga akan meneruskan penajaan melanjutkan pengajian ke Universiti Islam Selangor (UIS) atau universiti tempatan bagi peringkat ijazah pertama.
Tujuan institusi pendidikan tinggi berkenaan diberikan keutamaan oleh LZS kerana kemampuannya untuk menyediakan penuntut peringkat ijazah pertama dari sudut jati diri dan menguasai bahasa Arab dalam menghadapi cabaran di Timur Tengah.
Terlibat aktiviti keganasan di Syria
Masalah pengaruh pemikiran dan kumpulan ekstrim di Timur Tengah terhadap penuntut Malaysia (termasuk pelajar Negeri Selangor yang mendapat tajaan LZS) telah direkodkan oleh pihak berkuasa. Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Januari 2020 telah melaporkan 56 rakyat Malaysia disyaki terbabit dengan aktiviti keganasan masih berada di Syria di mana seramai 27 orang rakyat Malaysia berada di Kem Al-Houl, sembilan orang di Penjara Al-Hasakah, seorang di Idlib dan 19 lagi belum dikenal pasti lokasi mereka.

PDRM melaporkan kes ekstrim dalam negara pada Januari 2020 melibatkan pendakwaan terhadap 246 tertuduh berkaitan kes keganasan di mana 199 daripadanya dijatuhi hukuman manakala 47 orang ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan 36 orang telah dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Keganasan (POTA).
Permasalahan ini telah menyebabkan PDRM terpaksa menubuhkan Unit E8 (Unit Counter Terrorism). Manakala kerajaan Malaysia terpaksa menggubal AKTA Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) pada 2012, POCA pada 2014 dan POTA pada 2015 bagi mengekang masalah tersebut.
Data terkini oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melaporkan sejumlah 1,917 penuntut berdaftar dengan KPT berada di Timur Tengah. Walaupun jumlah penuntut yang dilaporkan terpengaruh dengan pemikiran dan kumpulan ekstrim di Timur Tengah adalah kurang 3%, namun usaha pengekangan perlu dilakukan kerana berlaku peningkatan pola terkait masalah tersebut.
Justeru LZS mengambil keputusan untuk memperkukuhkan jati diri para penuntut melalui institusi pendidikan tertiari tempatan sebelum meneruskan tajaan penuntut terbabit keperingkat sarjana dan doktor falsafah di Timur Tengah.
Institusi pendidikan tempatan
Kelebihan institusi pendidikan tertiari tempatan adalah kurikulum pengajian yang bersesuaian serta relevan dengan persekitaran, iklim, adat dan budaya setempat di Malaysia. Graduan dari institusi terbabit juga dibentuk melalui pakej pengajian Islam yang lengkap dengan tujuan untuk melahirkan ahli ilmuan Islam dan teknokrat Islam kontemporari yang mantap dari semua aspek.
Perkembangan masyarakat masa kini dan dunia tanpa sempadan menjadikan cara kehidupan dan interaksi begitu cepat berubah di mana ia membuka ruang kepada penyebaran pemikiran ekstrim dalam kalangan pelajar dalam negara. Namun institusi pendidikan tertiari tempatan terbukti berjaya mengekang penyebaran pemikiran tersebut melalui rekod kejayaan melahirkan modal insan siswazah Muslim yang mampu memberikan sokongan terhadap ketenteraman dan kesejahteraan.
Kesimpulannya, keputusan LZS dalam isu ini tidak perlu dipersoalkan dan diperdebatkan secara berlebihan memandangkan solusi terhadap penarikan penajaan pendidikan kepada penuntut peringkat ijazah pertama ke Timur Tengah telah disediakan.
Penajaan penuntut di institusi pendidikan tertiari tempatan bukan sahaja dapat mengawal perkembangan pemikiran ekstrim dalam kalangan penuntut, malah ia akan turut menyumbang kepada penjimatan pendanaan oleh LZS. Melalui penjimatan tersebut maka lebih ramai penuntut akan mendapat peluang penajaan pada masa hadapan oleh LZS di institusi pendidikan tertiari tempatan.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor