Pendekatan politik Hj Hadi ekstrem, 'penghukum agama' - Sheikh Umar
- Suara Keadilan

- 7 minutes ago
- 2 min read

Pendekatan politik Presiden Pas, Hj Hadi Awang didakwa amat ekstrem kerana menggunakan agama untuk menghukum pihak yang berbeza pandangan politik.
Menurut Naib Pengerusi DAP Johor, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali (gambar), pendekatan tersebut dapat dilihat melalui pendirian Hj Hadi terhadap Umno yang berubah daripada mengkafirkan parti itu pada 1981 kepada menganggap perbezaan Umno-Pas sebagai perkara khilaf dan cabang ketika mahu menjalin kerjasama.
"Nak faham pendekatan politik Hadi Awang ni, bagi saya mudah saja.
"Tahun 1981 dia sudah mengkafirkan Umno. Rakyat berpecah. Solat dua imam. Suami isteri sampai terpaksa perbaharui lafaz nikah sebab yang sebelum itu dianggap tak sah," katanya dalam hantaran di media sosial.
Tambah Sheikh Umar, ketika itu daging sembelihan orang Umno dianggap tidak halal dan tidak dimakan, selain berlaku budaya kafir-mengkafir dalam masyarakat.
Namun, katanya, pendirian tersebut berubah apabila Hj Hadi dilihat mula mendekati Umno apabila berpisah dengan sekutunya Bersatu.
"Tapi baru 27 Julai lepas, bila dia nak ‘peluk Umno’, dia kata perbezaan Umno-Pas hanyalah khilaf. Perkara cabang.
"Nampak tak?" katanya.
Mengulas fitnah yang dilemparkan terhadap DAP oleh BN-PN yang menganggap parti itu anti Islam dan sebagainya, Sheikh Umar berkata DAP menyokong Perlembagaan Malaysia dan bergerak mengikut lunas perlembagaan, termasuk kedudukan Islam yang termaktub di dalamnya.
"DAP menyokong Perlembagaan Malaysia. DAP bergerak ikut lunas Perlembagaan. Perlembagaan telah mendokong kedudukan Islam dengan jelas.
"Jika DAP menolak Islam, DAP pasti diharamkan sebab menolak apa yang termaktub dalam Perlembagaan," katanya.
Beliau menyifatkan kenyataan Hadi berhubung DAP sebagai permainan politik dan mengkritik pendekatan beliau yang didakwa menjadikan Islam dan Pas seolah-olah perkara yang sama.
"Kenyataan Hadi Awang hanyalah permainan politik.
"Tapi begitulah. Hadi Awang bagi saya seorang ‘penghukum agama’, bukan pendakwah," katanya.
Sheikh Umar turut memetik prinsip tokoh Ikhwanul Muslimin, Hassan al-Hudaybi, iaitu “nahnu du'at, la qudhah” yang bermaksud pendakwah, bukan hakim.
"Cara politik Hadi Awang ni berbahaya.
"Dia jadikan seolah-olah Islam itu Pas, Pas itu Islam dan dia bebas menghukum," katanya.
Untuk rekod, Hj hadi dalam tulisan terbaharunya "DAP memimpin PH menyambung kerja penjajah hapuskan Melayu Islam" mengandungi tohmahan yang berat.
Hj Hadi mendakwa di Singapura, People’s Action Party (PAP) menyingkirkan orang Melayu daripada politik Singapura yang dijadikan pusat gerakan penjajahan.
Di Malaysia, mereka mewujudkan teori Malaysian Malaysia oleh DAP dengan memperalatkan Melayu luar tabii yang lupa akan bangsanya dan menanam semangat perkauman dalam kalangan kaum lain.
Walaupun penjajah asing telah keluar pulang ke tanah air mereka, kata Hj hadi, namun mereka meninggalkan petugas yang melangsungkan gerakan menentang Islam dan umatnya yang berterusan.




Comments