Pendekatan geopolitik inklusif ASEAN, sokong negara kecil seiring kuasa besar
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Malaysia menegaskan dasar luar negara berteraskan pendekatan geopolitik yang inklusif dan berprinsip dengan memberi penekanan kepada peranan serantau dan hubungan seimbang antara kuasa besar dunia serta negara-negara ASEAN yang sedang membangun.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia bukan sahaja terus menjalin hubungan strategik dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China, malah mengambil pendekatan yang memberi perhatian kepada jiran yang kurang membangun di rantau ini.
"Kita tidak hanya berkawan dengan orang kaya...dengan orang yang maju dan rasa megah dan bangga.
"Kita juga mengiktiraf rakan-rakan kita, jiran kita yang memerlukan kerjasama dan pertolongan. Sebab itu, kita berusaha sedaya upaya mendapatkan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN tahun lalu," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penghargaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di Serdang hari ini.
Anwar dalam ucapannya menekankan bahawa dasar luar negara Malaysia bukan berdasarkan hubungan dengan negara kaya semata-mata malah mempertimbangkan tanggungjawab moral terhadap negara yang memerlukan.
"Kita tunjuk bahawa kita sedia berkawan dengan negara kaya dan negara besar seperti Amerika dan China," kata beliau.
Namun kata Anwar, Malaysia juga memberi perhatian “kepada jiran kita yang dahulunya sebahagian dari Indonesia dan sekarang ini dikenali sebagai Timor-Leste, yang dianggap negeri yang termiskin di rantau kita.”
Perdana Menteri turut menyatakan bahawa kejayaan Malaysia dalam mengemudi Vision 2045 di peringkat ASEAN menunjukkan kemampuan negara untuk mengetuai penyelarasan serantau secara berkesan dan dihormati.
Beliau memuji usaha penjawat awam yang memastikan wawasan itu diterima oleh rakan ASEAN, sesuatu yang beliau sifatkan sebagai “titik peluh keringat” dan sesuatu yang membanggakan.
Beliau menegaskan bahawa usaha Malaysia memperkukuh hubungan dalam ASEAN masih panjang dan memerlukan komitmen berterusan daripada seluruh jentera kerajaan demi kepentingan negara dan kesejahteraan rantau.
"...kejayaan mempengerusikan ASEAN dan Kepengerusian ASEAN tahun lalu itu tidak harus menyebabkan kita leka, mengajar kita supaya bekerja lebih kuat, lebih bertanggungjawab, kerana yang lebih penting dari pengiktirafan dunia adalah keupayaan kita mengangkat, memperbaiki ekonomi kita dan membela nasib rakyat kita," katanya.








Comments