top of page

Pendapatan pelaburan KWSP RM57.5 bilion, naik 48% suku kedua 2026

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • Aug 17
  • 3 min read

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat prestasi pelaburan memberangsangkan apabila jumlah pendapatan pelaburannya melonjak 48 peratus kepada RM57.50 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding RM38.92 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.


Prestasi itu disokong antaranya oleh pemulihan kukuh pasaran ekuiti global yang membolehkan pengurus dana KWSP merealisasikan keuntungan selain sentimen pelabur yang semakin baik.


Menurut KWSP, jumlah pendapatan pelaburan itu merangkumi keuntungan dan kerugian belum direalisasikan berdasarkan penilaian mark-to-market ke atas sekuriti yang dipengaruhi terutamanya turun naik kadar pertukaran asing.


Bagaimanapun, selaras dengan amalan tahun-tahun sebelumnya, keuntungan dan kerugian belum direalisasikan itu tidak boleh diagihkan sebagai dividen kepada ahli.


Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 sahaja, KWSP merekodkan pendapatan pelaburan RM29.77 bilion, meningkat 44 peratus berbanding RM20.61 bilion pada suku sama tahun lalu.


Pendapatan daripada ekuiti mencatat peningkatan ketara sebanyak 52 peratus daripada RM13.77 bilion pada suku kedua 2025 kepada RM20.94 bilion bagi tempoh sama tahun ini.


"Sentimen pelabur turut bertambah baik apabila kebimbangan terhadap harga tenaga semakin reda serta keyakinan yang kekal kukuh terhadap kitaran super kecerdasan buatan.


"Ekuiti menyumbang 70 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tersebut," kata kenyataan dikeluarkan KWSP hari ini.


Menurut KWSP, instrumen pendapatan tetap pula menyumbang RM6.91 bilion atau 23 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan suku kedua.


Sekuriti Kerajaan Malaysia terus memberikan pulangan stabil dan berdaya tahan sekali gus berperanan sebagai komponen defensif utama portfolio KWSP ketika berdepan ketidaktentuan pasaran, ujarnya.


"Hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.30 bilion pada suku kedua 2026 manakala instrumen pasaran wang mencatatkan keuntungan sebanyak RM0.62 bilion selaras dengan jangkaan pulangan bagi kelas aset masing-masing," menurutnya.


Pada akhir suku kedua 2026, keseluruhan aset pelaburan KWSP mencecah RM1.54 trilion dengan 39 peratus daripadanya dilaburkan di peringkat global.


Pelaburan antarabangsa menghasilkan pendapatan RM19.29 bilion atau 65 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan KWSP bagi suku berkenaan.


Daripada keseluruhan RM29.77 bilion pendapatan pelaburan suku kedua, sebanyak RM24.16 bilion adalah bagi Simpanan Konvensional manakala RM5.61 bilion bagi Simpanan Shariah.


Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata dana persaraan itu mengambil peluang daripada kekuatan pasaran ekuiti global, namun pada masa sama terus berpegang kepada pendekatan pelaburan jangka panjang yang berdisiplin.


"Sama seperti suku pertama, kami terus merealisasikan pendapatan lebih awal pada suku kedua memandangkan risiko pasaran dan geopolitik kekal tinggi.


"Walaupun pasaran ekuiti telah menyokong prestasi pada separuh pertama tahun ini, ahli wajar melihat prestasi ini dalam perspektif jangka panjang kerana peluang pasaran seperti ini mungkin tidak berulang pada separuh kedua tahun ini.


"Fokus kami kekal untuk menjana pulangan mampan yang disokong oleh portfolio berdaya tahan," katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, jumlah keahlian KWSP kini menghampiri 18.5 juta selepas dana persaraan itu mendaftarkan 441,846 ahli baharu sepanjang enam bulan pertama 2026.


Jumlah ahli aktif, iaitu mereka yang membuat sekurang-kurangnya satu caruman dalam tempoh 12 bulan terakhir, turut meningkat kepada 10.9 juta dengan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif bertambah baik kepada 59:41.


"Majikan aktif meningkat kepada 645,207 setakat Jun 2026, susulan pendaftaran 37,265 majikan baharu pada suku tersebut," menurut KWSP.


Perkembangan itu berlaku ketika pasaran buruh negara kekal berdaya tahan dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan kadar pengangguran pada paras 3.0 peratus pada Mei lalu.


Jumlah caruman KWSP pula meningkat 8.5 peratus kepada RM33.87 bilion pada suku kedua 2026 berbanding RM31.21 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.


Caruman sukarela turut menunjukkan momentum positif dengan jumlahnya mencecah RM14.15 bilion bagi enam bulan pertama tahun ini.


"Ini mencerminkan penyertaan berterusan ahli dalam simpanan sukarela, disokong platform digital KWSP yang menyediakan akses mudah dan lancar untuk membuat caruman sukarela," katanya.


Dalam tempoh sama, jumlah caruman menerusi i-Saraan meningkat 15.7 peratus kepada RM1.33 bilion.


Bilangan ahli sektor formal Malaysia yang memilih mencarum melebihi kadar berkanun menerusi i-Topup pula meningkat 13.9 peratus tahun ke tahun kepada hampir 204,450 orang bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page