Pendaftaran automatik haji: TH perlu lebih berani perkenal sistem baharu
- Redzuan Shamsudin
- Jul 15
- 1 min read

Tabung Haji dicadangkan untuk memulakan sistem pendaftaran automatik haji bagi penyimpan yang telah melepasi nilai minimum dalam akaun.
Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak, Khairol Najib Hashim (gambar) berkata, cadangan itu perlu dilaksanakan dengan syarat baki akaun pendeposit mencapai jumlah minimum RM1,300, dan tiada pendaftaran manual diperlukan.
"Cadangan ini tidak menafikan keperluan untuk menabung, tetapi bertujuan mempermudahkan urusan umat Islam terutamanya generasi muda yang semakin awal membuka akaun tetapi sering terlepas pendaftaran kerana tidak sedar akan prosedur manual yang perlu dilakukan.
"Dengan pelaksanaan pendaftaran automatik ini, setiap akaun baharu akan secara langsung tersenarai dalam sistem giliran haji setelah mencukupi syarat simpanan minimum.
"Ini akan membantu mengurangkan jurang maklumat, mempercepatkan giliran menunaikan haji, dan menjadikan perkhidmatan Tabung Haji lebih proaktif serta mesra rakyat," katanya.
Menurut beliau, langkah berkenaan selari dengan misi Tabung Haji untuk menjadi institusi yang inklusif, efisien dan memudahkan umat Islam merancang ibadah sejak awal.
"Pemuda AMANAH Perak juga percaya, sistem ini masih boleh dilengkapi dengan pilihan “opt-out” bagi yang tidak bersedia.
"Pemuda AMANAH Negeri Perak bersedia untuk berbincang dengan pihak Tabung Haji dan agensi berkaitan untuk menjayakan cadangan ini demi kebaikan umat Islam seluruh negara," katanya.
Untuk rekod, pada November 2012, terdapat lebih sejuta orang dalam senarai menunggu haji dipetik laporan Astro Awani.
Pemilihan bakal haji tersebut dibuat berdasarkan tarikh pendaftaran kepada TH.
Comments