Pencerobohan tanah di Seremban: Tindakan sedang diambil - Fahmi
- Akmal Manaf

- 4 hours ago
- 2 min read

Pakatan Harapan (PH) menafikan dakwaan bahawa kerajaan Negeri Sembilan gagal mengambil tindakan terhadap isu pencerobohan tanah kerajaan di beberapa kawasan sekitar Seremban termasuk Kampung Pasir.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sejak aduan tersebut diterima, pihak pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan telah berhubung dengan Pejabat Tanah dan Daerah Seremban.
"... dan telah mengenal pasti sebanyak 12 buah rumah didapati menceroboh tanah milik Kerajaan Negeri. Daripada jumlah tersebut ada sejumlah rumah yang telah diusahakan untuk pemindahan keluar.
"Ada aduan baru yang diterima unit penguatkuasaan Pejabat Tanah dan Daerah Seremban, dan ada juga aduan yang telah diterima daripada Unit Penguatkuasaan melalui Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
"Sejumlah rumah itu telah dikenal pasti dan beberapa tindakan juga telah diambil. Sebanyak lima buah rumah telah ditawarkan rumah mampu milik Kerajaan Negeri dan proses pemindahan itu sedang berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di bilik sidang media utama PH, hari ini yang turut dihadiri Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad dan Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin.
Mengenai baki rumah yang dikenal pasti, Fahmi berkata, Pejabat Daerah dan Tanah Seremban telah menyediakan kertas cadangan serta maklum balas untuk dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum ini.
"Bagaimanapun, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada awal Jun bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), beberapa keputusan perlu ditangguhkan sehingga kerajaan negeri baharu dibentuk.
"Maklumat yang kami terima jelas menunjukkan kerajaan negeri bukan sahaja sedang mengambil tindakan, malah tindakan itu telah dimulakan sebelum pembubaran DUN.
"Setakat hari ini maklumat yang telah diterima membuktikan bahawa pihak Kerajaan Negeri sedang dan telah mengambil tindakan kepada pihak yang cuba menyebarkan dakwaan palsu atau perkara yang tidak benar," ujarnya lagi.
Isu pencerobohan tanah Kerajaan Negeri dimainkan semula oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam kempen di media sosial sempena Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan yang sedang berlangsung, untuk kononnya menunjukkan kerajaan PH lemah mengambil tindakan terhadap pencerobohan tanah.




Comments