Pencapaian Sukan SEA Thailand jadi pemangkin temasya seterusnya - PM
- Suara Keadilan

- Dec 22, 2025
- 1 min read

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh Kontinjen Malaysia atas pencapaian membanggakan yang dilakar pada Sukan SEA Thailand baru-baru ini.
Menurut beliau, kejayaan tersebut adalah hasil disiplin tinggi, pengorbanan berterusan serta semangat juang yang tidak pernah luntur dalam kalangan atlet, jurulatih dan pegawai pasukan demi mengharumkan nama negara di persada serantau.
"Pencapaian ini wajar dijadikan pemangkin untuk terus memperkukuh persiapan menghadapi temasya sukan utama yang lain, agar Malaysia kekal berdaya saing dan disegani di peringkat serantau dan antarabangsa," katanya dalam muat naik di media sosial.
Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan akan memastikan persiapan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 dilaksanakan secara menyeluruh, terancang dan berwibawa, bukan sahaja dari aspek prasarana dan penganjuran, malah dalam usaha membina ekosistem sukan yang mampan serta melahirkan bakat bertaraf dunia.
"Dalam masa sama, kita akan memastikan persiapan sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 dilaksanakan secara menyeluruh, terancang dan berwibawa, bukan sekadar dari sudut prasarana dan penganjuran, tetapi dalam membina ekosistem sukan yang mampan serta melahirkan bakat berkelas dunia," ujarnya.
Beliau juga menekankan peranan sukan sebagai wadah penyatuan rakyat yang merentas kaum, wilayah dan latar belakang, sekali gus menyemai semangat kebersamaan dan kebanggaan nasional.
"Sukan adalah kekuatan sebenar Malaysia yang menyatukan kita sebagai satu bangsa. Nilai ini mesti terus dipelihara dan diperkasa demi keharmonian serta kemajuan negara," kata Perdana Menteri lagi.









Comments