Pencalonan Muhyiddin 'PM menanti' tiada makna tanpa sokongan Pas - Saifuddin
- Suara Keadilan

- Sep 8
- 1 min read

Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri mewakili Perikatan Nasional (PN) tidak membawa sebarang makna tanpa persetujuan komponen Pas.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) berkata, dalam gabungan pembangkang Pas merupakan parti yang lebih dominan berbanding Bersatu justeru sebarang pencalonan Perdana Menteri wajar mendapat restu mereka.
"Bersatu memilih untuk mengekalkan Muhyiddin sebagai presiden walaupun imej beliau tercalar. Itu keputusan berani tetapi penuh risiko.
"Namun tanpa restu Pas, sebarang keputusan mencalonkan Muhyiddin tidak boleh dimuktamadkan. Hakikat ini mesti diakui Bersatu," katanya dipetik MalaysiaGazette.
Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2025 yang berakhir pada Ahad sebulat suara mengekalkan sokongan kepada Muhyiddin sebagai Presiden sekaligus calon Perdana Menteri.
Situasi tersebut, kata beliau, berbeza berbanding hari sebelumnya yang mana berlaku insiden kekecohan dan pergelutan antara perwakilan ketika Muhyiddin dalam ucapan dasarnya menyentuh mengenai percubaan untuk menjatuhkan beliau menerusi surat layang.
Mengulas perkara itu Saifuddin berkata, situasi menunjukkan Bersatu berpecah kepada beberapa fraksi.
"Perubahan mendadak daripada desakan agar Muhyiddin berundur kepada menyokongnya tidak bermakna masalah dalaman parti telah selesai.
"Terdapat kumpulan pengasas asal, kumpulan baharu yang menyertai kemudian, menyebabkan Bersatu berdepan krisis identiti dan berada dalam keadaan rapuh serta bergantung penuh rakan gabungan untuk bertahan.
"Bersatu mungkin mahu menggambarkan imej kukuh, tetapi realiti yang terpampang ialah perpecahan yang semakin ketara," katanya.
Dalam pada itu Saifuddin mengingatkan Muhyiddin agar berhati-hati dengan apa yang berlaku dalam himpunan tersebut, terutama tindakan-tindakan kumpulan bukan asal Bersatu diketuai Mohamed Azmin Ali.
"Pada Sabtu ahli melaungkan ‘Turun Tan Sri’, kemudian beralih kepada ‘Hidup Tan Sri’. Sokongan yang tiba-tiba muncul nampak membantu tetapi hakikatnya boleh membawa rebah," tambahnya.









Comments