Pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya seharusnya dilakukan segera dan tidak perlu terikat dengan alasan kewangan atau sebagainya.
Menurut Biro Komunikasi dan Penerangan KEADILAN Cabang Kemaman, pemisahan tersebut penting bagi memastikan tidak berlakunya pendakwaan terpilih pada masa hadapan yang ketika ini turut ditentang oleh penyokong parti pemerintah sendiri selepas kes bekas Perdana Menteri Najib Razak.
Hal itu kata kenyataan tersebut, diperkuatkan oleh kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang undang dan Parlimen) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar baru baru ini yang terbuka terhadap cadangan pindaan undang undang bagi mewujudkan pemisahan bidang kuasa terbabit.
"KEADILAN Kemaman berpandangan kehendak politik untuk membawa reformasi ke atas sistem undang-undang dan kehakiman negara mesti mengatasi karenah birokrasi dan kepentingan peribadi ahli politik.
"Datuk Wan Junaidi menyatakan cadangan pemisahan bidang kuasa masih berada dalam kajian.
"Beliau juga menyatakan banyak implikasi perlu dipertimbangkan sebelum perkara tersebut dilaksanakan seperti wujudnya penjawatan yang baharu yang memerlukan kos kewangan.
"KEADILAN Kemaman berpendapat isu ini boleh diselesaikan jika kerajaan sekarang mempunyai komitmen untuk memerangi rasuah yang telah menghilangkan sejumlah besar wang rakyat. Pembaziran wang negara berlaku pada tahap yang sangat serius," kata kenyataan KEADILAN Kemaman.
KEADILAN Kemaman menambah, masalah kewangan untuk mewujudkan jabatan baharu sepatutnya tidak timbul apabila Pendakwa Raya boleh berfungsi lebih efisyen dalam mendakwa kes kes rasuah serta lebih banyak kewangan negara dapat diselamatkan.
"Justeru itu hanya dengan kehendak politik yang tinggi untuk memerangi rasuah dan juga salah guna kuasa dalam pentadbiran dapat merealisasikan reformasi yang menyeluruh, bukan sahaja dalam bidang undang-undang dan kehakiman, bahkan reformasi bagi membawa Malaysia kembali menjadi kuasa utama di Asia Tenggara.
"KEADILAN dalam hal ini bersama Pakatan Harapan sentiasa positif untuk terus menjulang obor reformasi untuk masyarakat dan negara," kata kenyataan itu lagi.
Kata kenyataan itu lagi, kehendak politik yang tulus mestilah mengatasi kehendak peribadi.
Comentários