top of page

Pemimpin Pas main politik, hentam TH, enggan minta maaf - Mahfuz



Pemimpin Pas lari dari akhlak perjuangan haraki Islam apabila masih enggan meminta maaf kepada pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mereka cela sejak setahun lalu kononnya menjual aset Tabung Haji (TH) kepada bukan Islam.


Bagi Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar, isu TH jelas memperlihatkan sikap sebenar ustaz-ustaz Pas yang jauh daripada akhlak ulama muktabar yang merendah diri dan sedia diperbetulkan apabila dikemukakan kebenaran dalam sesuatu isu.


Katanya, sudah jelas jawapan Perdana Menteri dari Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin di Parlimen menegaskan PH tidak pernah menjual aset TH kepada bukan Islam, namun tidak ada seorang pun ustaz Pas mengumumkan menarik balik tuduhan yang dilemparkan.


"Seluruh pimpinan Pas (yang menuduh aset dijual kepada bukan Islam) kena memohon maaf khususnya kepada pendeposit-pendeposit TH atas kesilapan mereka menimbulkan kegelisahan dan mencetuskan kebencian antara kaum di negara ini.


"Saya lihat malang kepada Pas, sebagai sebuah parti yang melaungkan perjuangan Islam tetapi tidak mengambil penjelasan dan penerangan mendalam daripada pihak TH. Semasa pemerintahan BN kerajaan beri penjelasan, mereka (Pas) berpuas hati tetapi zaman PH mereka tidak mendengar sebarang penjelasan pun dan terus lontarkan fitnah.


"Ini maknanya secara terang Pas bermain politik semata-mata untuk mendapatkan sokongan orang Melayu," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Sehubungan itu Mahfuz meminta ahli Pas agar menilai semula perjuangan para pemimpin mereka.


Katanya, Pas di bawah Presidennya Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini telah lari daripada dasar perjuangan sebenar dan berbeza dengan tokoh-tokoh Pas sebelum ini yang mementingkan prinsip perjuangan dalam memimpin harakah Islam.


"Bagi saya pimpinan Pas hari ini sudah lari daripada prinsip. Yang mereka bawa adalah satu kemunafikan politik. Apa yang mereka fikirkan hanya kuasa, sebab itu mereka boleh bersekongkol dengan pengkhianat dan kleptokrat untuk mendapatkan kuasa.


"Ahli Pas sendiri ada yang sudah faham sepak terajang politik ini. Era ustaz Fadzil Noor dan Nik Aziz pemimpin tahu dasar yang dibawa dan mereka faham apa hala tuju yang terbaik untuk parti Islam seperti Pas.


"Tetapi yang berlaku hari ini pemimpin-pemimpin Pas berubah, memperdagangkan agama dan menjadikan ahli-ahli mereka sebagai kuda tunggangan. Ahli Pas diapi-apikan sentimen perkauman sempit demi kedudukan kuasa politik dan bukan untuk kepentingan agama," kata Mahfuz yang pernah menjawat Naib Presiden Pas sebelum parti itu meninggalkan Pakatan Rakyat pada 2015.


Menurut Mahfuz lagi, tiba masanya pengikut Pas tidak terlalu taksub dengan perjuangan pemimpin mereka yang sanggup mengelirukan ahli demi mempertahankan survival politik masing-masing.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page