Pemimpin ‘beriman’ tidak semestinya pandai urus ekonomi - Mahfuz
- Suara Keadilan

- Jul 18
- 2 min read

Masalah utama Malaysia pasca pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional (2020 - 2022) adalah kemusnahan ekonomi sebaik sahaja Kerajaan Perpaduan mengambil alih pada November 2022.
Kekurangan barang makanan seperti ayam dan telur serta sayur sayuran pada waktu itu perlu dipulihkan segera dan pelaburan langsung asing perlu dihadirkan bagi mengelak keruntuhan lebih besar kepada ekonomi negara.
Hal itu ditegaskan oleh Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar) dalam menghadapi tulisan terbaharu Presiden Pas, Hj Hadi Awang yang mengaitkan masalah ekonomi serta inflasi kerana kononnya kesilapan rakyat memilih pemimpin yang "tidak beriman" serta menyokong fahaman liberal dan sekular di negara ini.
Menurut Mahfuz, rakyat Malaysia telahpun memberi peluang Pas berada dalam Kerajaan Persekutuan selama tiga tahun, hampir sama lamanya dengan usia Kerajaan Perpaduan, tetapi tiada hasil positif kerana pemimpin 'beriman' Pas tidak mahir menguruskan ekonomi.
"Agama tidak boleh dijadikan perisai untuk menutup kelemahan dasar atau kegagalan tadbir urus. Keimanan dan integriti dalam politik mesti diterjemah dalam bentuk dasar yang adil, ekonomi yang mampan, dan kebajikan untuk semua bukan sekadar ceramah atau retorik mimbar dan pentas.
"Apa sumbangan Pas ketika jadi kerajaan? Rakyat tidak lupa semasa mereka memegang kuasa, tiada reformasi struktur, dan dasar populis yang ditinggalkan hanya memperbesar defisit. Kabinet semasa Pas berada dalam kerajaan PN adalah Kabinet Lori Sampah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahfuz juga bertanya, mengapakah negeri negeri yang ditadbir pemimpin beriman Pas seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis rakyatnya masih miskin dan tidak menjadi lebih baik sebagaimana negeri ditadbir Kerajaan Madani.
Beliau turut membawa perangkaan ekonomi terbaharu berdasarkan data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), kadar inflasi negara bagi Mei 2025 ialah 1.2% – terendah dalam tempoh 51 bulan, Malaysia setara dengan negara-negara seperti Korea Selatan (1.9%), Indonesia (1.6%) dan Filipina (1.3%).
Data itu, kata beliau menjawab tulisan Hj Hadi yang secara tidak tepat menggambarkan pencapaian kerajaan semasa.
"Ini menunjukkan ekonomi negara berada dalam keadaan stabil dan terkawal hasil dasar fiskal serta subsidi bersasar yang dirangka dengan teliti oleh kerajaan Perpaduan," ujarnya.
Oleh itu, kata Mahfuz, AMANAH menolak keras budaya memperalatkan agama untuk menghasut rakyat dan menuduh mereka yang berbeza pandangan politik sebagai tidak beriman atau perosak.
"Islam mengajar kita berlaku adil dalam menilai seseorang bukan berdasarkan parti tetapi pada akhlak, ilmu, dan kemampuan mentadbir.
"Menghukum rakyat kerana memilih secara sah dalam demokrasi adalah satu penghinaan terhadap sistem yang kita sama-sama perjuangkan sejak merdeka," katanya.
Sebaliknya, Mahfuz mengajak semua pihak untuk kembali kepada politik yang matang dan berakhlak berpaksikan kebenaran, fakta dan adab, bukan budaya mencela rakyat, menakut-nakutkan umat, atau menyalahkan demokrasi.
"Kita berpolitik untuk membina, bukan menuduh dan membakar.
"Rakyat Malaysia hari ini bukan lagi rakyat yang boleh diputar dengan retorik lama. Mereka menilai dengan minda terbuka dan mahu melihat penyelesaian, bukannya tuduhan," tegas Mahfuz.









Comments