Pemilihan KEADILAN: Rodziah sah bertanding Ketua Wanita Pusat
- Suara Keadilan
- Mar 11
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail mengesahkan dirinya akan bertanding bagi jawatan Ketua Wanita KEADILAN Pusat bagi sesi 2025-2028 yang kini disandang Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
''Saya ucapkan terima kasih kepada barisan Exco sedia ada yang turut hadir bersama saya malam ini (malam tadi).
''Sebenarnya semangat yang ada daripada kalian yang menyebabkan saya menawarkan diri untuk terus terlibat dalam kepimpinan sayap wanita.
''Jadi, perkara ini (bertanding) merupakan tekad saya untuk kembali menerajui Wanita KEADILAN walaupun jawatan terakhir saya dahulu adalah Timbalan Ketua Wanita.
''Tapi saya yakin, Insya-Allah sedikit sebanyak pengalaman yang ada pada saya dalam pelbagai bidang yang telah pun diberikan kepercayaan kepada saya sebelum ini, saya optimis dengan membentuknya kepimpinan baharu nanti, kita boleh terus melangkah untuk membawa Wanita KEADILAN ke depan,'' katanya dalam sidang media.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Hari Wanita Sedunia yang diadakan di Ampang, malam tadi.
KEADILAN dijadual mengadakan pemilihan di peringkat bahagian bermula dari 11 hingga 20 April manakala bagi kepimpinan pusat pula akan berlangsung pada 24 Mei depan.
Sebelum ini, Rodziah kalah tipis kepada Fadhlina dengan perbezaan hanya 32 undi pada pemilihan 2022.
Menerusi pemilihan tersebut, Fadhlina memperoleh 18,923 undi dan Rodziah 18,891 undi.
Dalam sidang media semalam Rodziah diapit oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Raiyan Abdul Rahim (kiri) dan Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Juwairiya Zulkifli yang akan bertanding dalam pasukannya pada Pemilihan Wanita KEADILAN Mei ini.
Commentaires