Bulan Ramadan merupakan bulan maghfirah dan rahmah, waktu terbaik umat Islam untuk meningkatkan ketakwaan dan membuang sifat mazmumah.
Bagi Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terdapat hikmah mengapa Pemilihan KEADILAN 2022 dilakukan di dalam bulan Ramadan, iaitu agar anggota parti tidak 'terlajak' berkempen.
"Orang kata kenapa kita buat pemilihan parti sekarang, kerana mengingatkan bakal bakal calon bahawa etika itu sangat ketat terutama di bulan Ramadan.
"Kalau orang dalam bicara, kempen, ada ego, anamiahnya itu berlebih, maka dia melanggar semangat dan roh Ramadan.
"Ini juga menyangkut tohmahan... saya jumpa Ketua Cabang, Exco, ada desas desus saya beri laluan orang ini, saya sokong orang itu.
"Saya ini presiden, saya ok semua. Orang beritahu saya, Datuk Seri saya nak bertanding. Saya kata ok. Jadi itu dia bawa ke Cabang, Anwar telah berikan 'laluan mudah kepada saya'. Jadi saya minta kerjasama saudara, bersainglah dengan baik," katanya dalam ucapan sempena Majlis Iftar KEADILAN Selangor, petang semalam.
Bagaimanapun, menurut Anwar, beliau ada memberi teguran dalam beberapa perkara berkaitan pencalonan kaum Cina dan India dalam pemilihan, supaya diadakan konsensus tertentu memandangkan KEADILAN merupakan parti pelbagai kaum.
"Memang saya beri kawan kawan bertanya, kerana parti ini mesti mewakili Sabah, Sarawak. Kadang kadang saya tunjuk prihatin ada atau tidak konsensus Cina, India, itu saya tidak fikir penglibatan secara langsung proses pemilihan.
"Saya bimbang tak ada persefahaman, ini menyulitkan," katanya.
Mengenai debat melawan mantan Najib Razak, Anwar menjelaskan sebab beliau menerima cabaran Najib biar pun banyak pihak tidak bersetuju memandangkan tokoh Umno itu bukanlah pemimpin kanan dan telah dijatuhi hukuman penjara pula.
"Perdebatan saudara Rafizi dengan Datuk Najib. Najib dia cuba kalau kalau boleh menggagalkan debat itu dengan mengaitkan nama saya.
"Saya ini pantang dicabar. Saya cabar Najib berdebat sejak dia Timbalan PM. Debat ini (sebaik baiknya dengan) PM, bukan orang yang sudah terbuang dan tersisih.
"Tetapi oleh kerana dia cabar, sukar saya menolak. Ramai kawan kawan tidak setuju mengapa saya layan seorang yang ada rekod begini rupa, pulak di bulan Ramadan.
"Sebab itu saya ambil masa 24 jam untuk jawab kerana tidak begitu berminat untuk berdebat. Tetapi telah dicabar. Saudara Fahmi akan mengatur. Saya mana pun ok, televisyen mana, di mana, tajuk apa, asalkan jadi debat. Itu yang penting," katanya lagi.
Comments