Pemilihan KEADILAN: Cai dibenarkan untuk kempen dalam talian
- Suara Keadilan

- Apr 10
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pemilihan kepimpinan KEADILAN 2025 membenarkan 'cai' digunakan untuk menentukan pasukan tetapi kempen hendaklah dilakukan secara digital dan dipaparkan menerusi dalam talian.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) KEADILAN, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya memperkenalkan alternatif itu sebagai langkah mencegah daripada berlakunya 'perpecahan' dalam parti.
''Kita tak nak tunjuk bahawa kesan cai ini, kadang-kadang berlakunya perpecahan.. dan kita rasa sakitnya perpecahan sehinggakan kadang-kadang selepas pemilihan berlangsung, masih lagi (ada rasa itu).
''Walau macam mana pun perbezaan, kita harus bekerjasama sebagai satu pasukan iaitu KEADILAN dan berkempen secara yang digalakkan atau termaktub dengan garis panduan yang dikeluarkan JPP.
''Masing-masing membawa kekuatan tersendiri dalam memperkuatkan agenda parti,'' katanya dalam rancangan Kerusi Biru yang disiarkan secara atas talian menerusi saluran Facebook KEADILAN.
Ketika ditanya mengenai larangan-larangan lain ketika berkempen seperti membuat serangan peribadi, Dr Zaliha menegaskan perkara itu sama sekali tidak dibenarkan.
Beliau berkata, sekiranya menerima aduan, pihaknya akan meneliti kesalahan yang dilakukan.
''Contohnya ada serangan peribadi yang melampau.. tapi JPP tidak boleh ambil tindakan di luar batas kerana kita hanya khusus kepada pemilihan.
''Jadi kalau misalnya terdapat cadangan daripada jawatankuasa aduan untuk kita boleh melanjutkan aduan-aduan berkenaan kepada (mungkin) jawatankuasa disiplin parti, yang itu kita boleh lakukan,'' jelas beliau.
Tegas Ahli Parlimen Sekijang itu lagi, pihaknya menolak sekeras-kerasnya jika terdapat unsur 'money politic' pada kempen kali ini.
Katanya, beliau memahami perjalanan kempen kali ini berlaku pada bulan Syawal, namun duit raya hanya boleh diberikan atas niat untuk meraikan Aidilfitri dan membantu golongan memerlukan, dan bukan tujuan meraih undi.
''Ada juga yang tanya, sekarang ini hari raya Dr Z.. macam mana (duit raya dan sebagainya)? Jadi pendapat saya berpada-pada.
''Saya selalu sebut, kalau hari raya kita bagi duit kepada anak saudara, kawan-kawan dan golongan susah untuk tujuan membantu.. itu tiada masalah.
''Tapi bukan tujuan beli undi.. Contohnya ini saya bagi duit raya, esok jangan lupa undi.. itu tak boleh.
''Kalau tak ada orang buat aduan.. ok la.. kalau ada orang buat aduan beserta bukti, itu kita kena melihat kes demi kes,'' ujarnya lagi.









Comments