Pemilihan KEADILAN 2025: Saingan ahli MPP terima pencalonan teramai
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Mohd Azuan Ab Rahman
SOROTAN PEMILIHAN: Proses pencalonan bagi pemilihan pucuk kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang ditutup malam tadi berjalan dengan lancar.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, lebih 237 pencalonan bagi mengisi pelbagai jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi sesi 2025–2028 telah diterima pihaknya.
Bagi jawatan Presiden KEADILAN, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan akan mempertahan jawatan berkenaan dan pencalonan juga telah dihantar lewat petang semalam.
Bagaimanapun berbanding kerusi Presiden, tumpuan umum kini lebih tertumpu kepada siapa yang akan mengisi jawatan Timbalan Presiden, kerusi nombor dua yang dianggap kerusi panas.
Rafizi dicabar Nurul Izzah timbalan presiden
Dengan Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak mencalonkan diri untuk bertanding jawatan itu, sekaligus menyaksikan berlaku pertembungan satu lawan satu antara Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dan penyandang jawatan itu Datuk Seri Rafizi Ramli.
Pertembungan antara Nurul Izzah yang digelar Puteri Reformasi kerana pembabitannya sejak awal perjuangan KEADILAN dan Rafizi yang dianggap ‘arkitek’ yang membawa kemenangan kepada PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, membawa keterujaan kepada ramai termasuk di luar parti untuk menyaksikan persaingan kali ini.
Namun siapa yang bakal mengisi jawatan tersebut sudah pasti akan ditentukan sendiri oleh ahli KEADILAN pada proses pemilihan yang bakal diadakan pada 23 Mei ini.
Sementara itu saingan bagi kerusi Naib Presiden tidak kurang hangat. 11 individu telah mengemukakan pencalonan masing-masing termasuk penyandang iaitu Datuk Seri Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor), Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam)
Mereka bakal dicabar antaranya oleh Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Dr Sathia Prakash Nadarajan, Timbalan Ketua Penerangan Datuk Seri R Ramanan dan Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin.
Turut mencalonkan diri ke jawatan itu ialah Ahli Dewan Negara Abun Sui Anyit, bekas Exco Hee Loy Sian, R.Yuneswaran (Ahli Parlimen Segamat) dan Mustaffa Kamil Ayub ( Pengerusi INSKEN).
Setiausaha Politik antara bersaing jawatan MPP
Seperti dijangka, jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) menerima jumlah pencalonan paling ramai, dengan 72 pemimpin dari pelbagai peringkat mengemukakan pencalonan.
Antara pemimpin yang cuba mengintai nasib untuk menganggotai majlis itu adalah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil merangkap Ketua Penerangan KEADILAN.
Selain Fahmi, sosok dikenali lain yang turut menghantar pencalonan untuk bertanding jawatan itu termasuklah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.
Nama lain yang sudah mengemukakan pencalonan antaranya Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar, Ahli Parlimen Gopeng, Tah Kar Hing, Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Dewan Negeri Pelabung Klang, Azmizam Zaman Huri.
Turut mencalonkan diri ialah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Chan Ming Kai dan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad.