Pemilihan AMANAH harmoni, Mohamad Sabu kekal Presiden
- Suara Keadilan
- Dec 24, 2023
- 1 min read

Oleh: Noraini Nordin
Walaupun dalam pemilihan Jawatankuasa pimpinan baharu AMANAH atau Jawatankuasa Khas 27, Datuk Seri Mohamad Sabu di tempat ke lapan berdasarkan hierarki namun beliau tetap dikekalkan sebagai Presiden Parti AMANAH Negara.
Pemilihan yang berlangsung dalam sistem syura dan konsensus itu menyaksikan pemilihan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa sebagai Timbalan Presiden AMANAH yang baharu.
Bagi jawatan tiga Naib Presiden pula Datuk Seri Zulkefly Ahmad diangkat sebagai Naib Presiden pertama, Datok Dr Siti Mariah Mahmud kedua dan Adly Zahari ketiga.
Pelantikan mereka dibuat oleh 27 AJK baru yang terpilih bersama tiga ketua sayap-sayap AMANAH pada petang ini.
Pelantikan ini merupakan penggal terakhir untuk Mohamad Sabu sebagai presiden kerana menurut Perlembagaan AMANAH, penjawat utama parti hanya boleh memegang jawatan untuk tiga penggal sahaja.
AMANAH melaksanakan pemilihan secara syura iaitu memilih 27 pemimpin utama dengan tiga ketua sayap iaitu pemuda, wanita dan wanita muda dikumpulkan untuk memilih 5 pimpinan tertinggi.

Kedudukan Mohamad Sabu hampir sama sebagaimana dalam pemilihan tiga tahun lalu. Walaupun tidak mendapat undi tertinggi tetapi beliau tetap menjadi pilihan 30 pemimpin AMANAH yang dipilih secara syura.
Konvensyen Nasional AMANAH 2023 telah berlangsung di Wyndham Acmar Kelang, Selangor dengan kehadiran 1,073 perwakilan dari seluruh negara.
Sementara itu pengundian untuk memilih 27 jawatankuasa pimpinan baharu Amanah petang tadi dijalankan secara e-voting .
Ini adalah kali kedua ANAMAH melaksanakan pengundian secara e-voting. Kali pertama semasa pemilihan parti itu pada 2019.
Comments