top of page

Pemerkasaan wanita: KRT Taman Melewar unggul sempena sambutan Bulan Kebangsaan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 47 minutes ago
  • 2 min read
KRT Taman Melewar menganjurkan "Zumba + MyTvision Merdeka"
KRT Taman Melewar menganjurkan "Zumba + MyTvision Merdeka"

Suasana penuh perpaduan dan semangat patriotisme menyelubungi Dewan Serbaguna Taman Melewar apabila program "Zumba + MyTvision Merdeka" berjaya menghimpunkan lebih 100 penduduk setempat bagi meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan.


Program berkenaan turut melakar sejarah tersendiri apabila Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wangsa Maju Subzon 1 mengadakan program rasmi buat julung kalinya di KRT Taman Melewar sejak penubuhannya 28 tahun lalu.


Kolaborasi strategik ini mencerminkan keharmonian serta hubungan erat antara kepimpinan akar umbi dan komuniti setempat.


Berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 pagi, acara ini diserikan dengan kepimpinan dinamik Pengerusi KRT Taman Melewar, Puan Jasmin, yang konsisten menerajui pelbagai aktiviti kemasyarakatan.


Membawa tema "Tradisional", para peserta tampil kreatif menggayakan busana tradisional pelbagai kaum, sekali gus menyerlahkan keunikan budaya majmuk Malaysia.


Andre Lai bersama sambutan merdeka di KRT Taman Melewar
Andre Lai bersama sambutan merdeka di KRT Taman Melewar

Hadir sama menyokong program tersebut ialah penggerak komuniti serta mantan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Andre Lai Chen Heng.


Beliau memuji keutuhan masyarakat berbilang kaum di Taman Melewar yang disifatkan berdikari serta mempunyai semangat perpaduan yang tinggi.


"Penduduk di sini amat berdikari, mungkin kerana ramai golongan elit yang menetap di sini. Adanya KRT yang efektif seperti ini mengukuhkan lagi perpaduan antara komuniti yang sememangnya menjiwai semangat Hari Kebangsaan," ujar beliau.


Sementara itu, Ketua Ranting Kampung Padang Balang merangkap Setiausaha MPP Wangsa Maju Subzon 1, Haslinda Kasbullah, yang hadir bersama kepimpinan Wanita KEADILAN Wangsa Maju, menekankan kepentingan pemerkasaan wanita menerusi penganjuran tersebut.


"Puan Jasmin dan pasukannya amat efektif menjalankan program. Lebih-lebih lagi mereka wanita, mampu menunjukkan teladan yang baik dalam pemerkasaan pemimpin wanita di peringkat komuniti," kata beliau.


Program turut dimeriahkan dengan sesi senamrobik bertenaga tinggi yang dikendalikan oleh barisan instruktor Zumba (ZIN) berpengalaman iaitu ZIN Putri, ZIN Que, dan ZIN Nad. Suasana bertambah ceria menerusi persembahan tarian daripada kumpulan Jojo Sisters Linedance di bawah pimpinan Yap Pei Ling dan Ivy Teoh bagi menonjolkan semangat kepelbagaian di kalangan peserta.


Antara pengisian menarik yang disediakan buat para peserta termasuklah sesi cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah lumayan, pertandingan pakaian terbaik bertemakan tradisional yang menawarkan hadiah utama bernilai RM100, serta pengagihan beg cenderahati kepada 50 peserta terawal.


Majlis melakar detik bermakna apabila seluruh hadirin berdiri tegak menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku dan lagu patriotik Jalur Gemilang, sebelum diakhiri dengan laungan "Merdeka!" secara beramai-ramai sebagai simbolik kecintaan mendalam terhadap tanah air.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page