Pemberian SARA RM100 tingkat keyakinan kemampuan kerajaan bantu rakyat
- Suara Keadilan
- Jul 27
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pemberian bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas bermula 31 Ogos ini bukan hanya sekadar bantuan tetapi menunjukkan keupayaan sebenar Kerajaan Madani membantu rakyat setelah ekonomi negara pulih.
Demikian pandangan Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai (gambar) ketika diminta mengulas mengenai pemberian RM100 secara 'one off' itu yang turut dimanfaatkan oleh golongan M40.
Katanya, pemberian kepada M40 kali ini - biasanya tidak diberi apa apa - boleh merangsang perniagaan yang menyasarkan golongan berpendapatan sederhana selain memberi keyakinan kepada rakyat terhadap kemampanan ekonomi negara.
''Kita mahu seluruh rakyat di negara ini mempunyai sikap positif dan keyakinan yang tinggi bahawa ekonomi kita sedang meningkat menuju puncak yang dijangka dicapai menjelang 2026.
''Semua sedang menunggu dan akan bersama-sama memacu ekonomi ke hadapan.
''Namun selepas ini, kita memerlukan inisiatif yang lebih (bersifat) jangka sederhana dan panjang bagi menyambung sentimen ini, dan jika tidak, ia akan menjadi sejuk dan akhirnya hilang,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Pada 23 Julai lalu Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa inisiatif penting sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada rakyat di negara ini.
Antara yang diumumkan adalah pemberian RM100 melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA)
Kerajaan juga memutuskan bahawa tiada kenaikan tol bagi 10 lebuh raya, menyaksikan memperuntukkan lebih RM500 juta dibayar kepada syarikat konsesi demi memastikan rakyat terus menikmati kemudahan tanpa beban tambahan.
Selain itu, harga petrol RON95 diturunkan ke RM1.99 seliter pada bulan September, manakala peruntukan Jualan Rahmah MADANI digandakan kepada RM600 juta.
Jualan itu diperluas ke semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) agar barangan asas mampu milik lebih dekat dengan setiap keluarga.
Comments