Pembayar cukai T20, M40 wajar diberi lebih banyak pelepasan
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 2 min read

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak menggesa Kerajaan MADANI agar tidak terus meminggirkan suara dan kepentingan golongan M40 dan T20, khususnya dalam penggubalan dasar melibatkan pelepasan cukai dan insentif fiskal yang lebih adil.
Ketua Pemuda AMANAH Perak, Khairol Najib (gambar) berkata, golongan berkenaan merupakan penyumbang utama kepada pendapatan negara.
"Golongan ini adalah tulang belakang pendapatan negara, pembayar cukai setia yang menyumbang kepada hasil negara setiap tahun.
"Namun sayangnya, kelompok inilah juga yang sering terperangkap dalam “zon senyap”, tidak cukup miskin untuk dibantu, tetapi tidak cukup kaya untuk bebas dari tekanan ekonomi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, dalam keadaan kos sara hidup yang semakin menekan, kerajaan wajar memberi perhatian serius kepada pelepasan cukai yang lebih progresif dan selari dengan realiti semasa.
Sehubungan itu, Pemuda AMANAH Perak mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan, antaranya peningkatan had pelepasan cukai bagi insurans dan takaful supaya lebih ramai rakyat mampu mendapatkan perlindungan kesihatan dan nyawa.
Khairol juga mencadangkan pelepasan yang lebih besar bagi perbelanjaan pendidikan anak-anak termasuk yuran taska, sekolah swasta serta pusat tahfiz yang diiktiraf.
"Pelepasan bagi pembelian peralatan digital dan elektronik, sesuai dengan keperluan dunia kerja moden dan pendidikan anak-anak yang kini banyak bergantung kepada peranti juga perlu dipertimbangkan," katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan perlu mengiktiraf kos penjagaan ibu bapa, penjagaan anak istimewa atau rawatan kesihatan bukan kritikal sebagai sebahagian pelepasan cukai.
"Langkah-langkah ini bukan sekadar bentuk kelegaan fiskal, tetapi isyarat bahawa kerajaan menghargai semua golongan, bukan hanya yang layak menerima bantuan tunai, tetapi juga yang senyap-senyap terus menyumbang kepada kestabilan negara," katanya lagi.
Khairol menegaskan prinsip keadilan sosial dalam kerangka Malaysia MADANI tidak seharusnya hanya tertumpu kepada golongan yang menerima bantuan tunai, sebaliknya turut berlaku adil kepada pembayar cukai.
Oleh itu, katanya, mereka juga wajar dibela dengan sebaik baiknya.









Comments