Pembangunan Wilayah Persekutuan perlu berpaksikan nilai MADANI
- Suara Keadilan
- Aug 7
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Pembangunan perumahan dan pengurusan bandar di Wilayah Persekutuan perlu dilaksanakan berteraskan nilai-nilai MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dan keadilan sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) berkata, agenda perumahan mampu milik yang diangkat sebagai tonggak penting dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) perlu disasarkan untuk menyelesaikan ketidakseimbangan spatial yang telah lama membelenggu warga kota.
"Pengurusan pembangunan bandar di Wilayah Persekutuan mesti digerakkan dengan semangat reformasi dan nilai MADANI yang berpaksikan keadilan, kemampanan serta kesejahteraan rakyat, bukannya terperangkap dalam kejayaan-kejayaan lampau semata-mata.
"Ramai golongan pekerja terpaksa tinggal jauh dari pusat bandar, menghabiskan masa berjam-jam di atas jalan raya setiap hari yang bukan sahaja menjejaskan kos sara hidup, malah turut memberi kesan kepada kesejahteraan keluarga dan menurunkan produktiviti negara," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.
Terdahulu, Dr Zaliha menghadiri Majlis Pecah Tanah Residensi Aman MADANI di Bandar Sri Permaisuri, Cheras yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut beliau menjelaskan, usaha menyediakan perumahan mampu milik perlu diselarikan dengan penyediaan akses kepada pendidikan berkualiti, perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh serta ruang awam yang hidup dan inklusif agar kesejahteraan rakyat dapat dicapai secara holistik.
Justeru, projek Residensi Aman MADANI akan menjadi pemula kepada lebih banyak inisiatif perumahan berkualiti tinggi dan mampan di seluruh Wilayah Persekutuan.
"Ini adalah manifestasi sebenar Kerajaan MADANI — membina negara dari bawah ke atas dengan meletakkan rakyat sebagai teras kepada segala perancangan," katanya.
Comments