Pembangkang PN mendakwa Kerajaan Perpaduan menghalang kebebasan bersuara di Malaysia hakikatnya tidak faham maksud sebenar kebebasan untuk menyatakan pendapat tersebut.
Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Setiawangsa, Muhammad Azha Salahudin, kebebasan bersuara bagi mana mana negara mempunyai had tersendiri dan seharusnya tidak sehingga menghasut atau membawa mudarat kepada masyarakat sebagaimana yang dipraktikkan oleh pembangkang pada waktu ini.
Katanya, kebebasan bersuara penyokong pembangkang sehingga memainkan isu Kaum, Agama dan Raja (3R) ke tahap melampau tentu sekali tidak boleh dikompromi.
"Kerajaan Perpaduan dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah menyekat sebarang hak bersuara yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 10 yang memberi kebebasan bercakap dan bersuara kepada setiap warganegara Malaysia.
"Setiap individu perlu sedar bahawa kebebasan mempunyai limitasi tertentu dan tidak menjadi keterlaluan sehingga mampu menimbulkan sebarang isu atau permasalahan yang mampu mengganggu-gugat orang ramai.
"Kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan ini tidak boleh disalahgunakan menyebarkan sebarang tuduhan tanpa asas, kebencian dan fitnah sehingga menyentuh sensitiviti isu yang melibatkan 3R seperti dilakukan oleh pihak pembangkang sekarang ini," katanya dalam satu kenyataan.
Tegas Naib Pengerusi Biro Pendidikan AMK Malaysia itu, pembangkang sering memainkan isu yang melibatkan 3R untuk kepentingan politik kepartian dengan mewujudkan sentimen kebencian dan perkauman dalam kalangan rakyat sehingga menimbulkan perpecahan.
Juga terdapat pemimpin pembangkang sanggup membuat penghinaan ke atas sultan yang menjadi payung orang Melayu dan agama Islam.
Katanya, tentulah kerajaan terpaksa bertindak bagi menjaga ketenteraman awam biar pun Kerajaan Perpaduan tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk bercakap atau berhujah berkenaan isu 3R yang mempunyai asas, bukti dan fakta yang tepat.
"Ini supaya tidak wujudnya sebarang syak wasangka yang berniat jahat serta mampu menimbulkan perpecahan dalam kalangan rakyat.
"Oleh itu pembangkang perlu berhenti memainkan sentimen yang menyentuh isu 3R untuk meraih simpati dan sokongan daripada rakyat.
"Bertindaklah sebagai pembangkang yang bijak dengan mengemukakan pandangan dan cadangan untuk melaksanakan dasar-dasar yang mampu memberi nilai tambah kepada negara serta menjamin kebajikan rakyat secara keseluruhannya," kata Azha lagi
Comments