top of page

Pembangkang jangan melatah, lawatan PM ke Eropah bukan suka-suka – AMK

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 7
  • 2 min read

ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) membidas kenyataan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal yang mempertikai lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perancis dan Itali baru-baru ini.


Ketua Biro Hubungan Antarabangsa AMK, Arief Izuadin (gambar) berkata, tuduhan Wan Ahmad Fayhsal penuh prasangka, tidak bersandarkan fakta dan jelas bertujuan menjejaskan imej Perdana Menteri demi kepentingan politik sempit.


Sebagai menjawab persoalan ditimbulkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu itu mengenai jumlah penyertaan delegasi yang ramai dalam rombongan tersebut beliau menegaskan, menjadi kebiasaan bagi mana-mana Perdana Menteri yang melakukan lawatan rasmi ke luar negara dengan disertai pegawai dari pelbagai kementerian dan pihak berkaitan.


"Nak jumpa Presiden Macron, PM Itali, CEO Airbus, pelabur-pelabur besar takkan nak pergi macam ‘rombongan mak cik Kiah?


"Faktanya Ini bukan rombongan jalan-jalan, tapi untuk bincang isu besar macam pelaburan, keselamatan dan ekonomi," katanya.


Beliau turut menjelaskan, kehadiran Anwar ke Eropah adalah atas jemputan rasmi Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Itali.


"Semua pertemuan berlangsung secara rasmi. Kalau ini lawatan peribadi, takkan pemimpin Eropah layan sebegitu rupa," ujarnya.


Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal dalam satu hantaran di media sosialnya mempersoal lawatan Anwar dengan menyifatkannya sebagai pembaziran hanya untuk 'tunjuk gaya'.


Ahli Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu itu turut mempersoal beberapa perkara lain termasuk program syarahan Anwar di Université Sorbonne.


"Dalam dunia diplomasi pendidikan, guna dewan universiti melalui kerjasama kedutaan adalah perkara biasa. Amerika Syarikat, Jepun, Qatar semua pernah buat.


"Malaysia kini ambil semula peranan penting di rantau ini selepas bertahun-tahun politik kelam-kabut. Bila PM berucap di Sorbonne, beliau bukan sembang kosong tapi sentuh isu besar antaranya hubungan ASEAN-EU, Islam progresif, dan geopolitik global.


"Kalau pembangkang rasa panas hati tengok PM diberi pentas antarabangsa, mungkin sebab mereka tiada tokoh yang boleh buat benda sama," sindirnya.


Dalam kenyataan sama beliau menyifatkan, bahawa serangan berterusan pembangkang hanya membuktikan mereka gagal memahami bagaimana diplomasi antarabangsa berfungsi.


"Yang gelabah sekarang bukan Perancis atau Itali, tetapi mereka yang dulu pegang kuasa, tak buat kerja, dan sekarang cuba alih perhatian bila Malaysia mula bangkit semula," tegas Arief.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page