top of page

Pembangkang jangan bersorak awal, keputusan gantung Takiyuddin Januari depan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 15 minutes ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Aktivis Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali mengingatkan pemimpin blok pembangkang agar ‘jangan bersorak terlalu awal’ berhubung isu penggantungan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selama enam bulan yang ditangguhkan semalam kerana keputusan muktamad hanya akan dibuat pada sidang Parlimen Januari tahun depan.


Beliau berkata, pada sesi Parlimen akan datang, terdapat dua pilihan tindakan berhubung Takiyuddin, sama ada terus mengundi untuk menggantung beliau berdasarkan usul sedia ada atau merujuk kes itu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.


Katanya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hanya perlu membuat sedikit pindaan terhadap usul dan kedua-dua tindakan itu sah mengikut Peraturan Mesyuarat.


"Kepada Takiyuddin, Pemuda Pas Malaysia, Hamzah Zainudin, Ronald Kiandee, Marzuk Shaary, Syahir Sulaiman, Awang Hashim, Radzi Jidin, jangan bersorak awal.

Syam Ghaz
Syam Ghaz

"Kononnya menanglah hari ini (semalam)? Tidak semudah itu. 26 Januari 2026 kita undi tengok ya. Sabar dulu. Januari bukan lama.


"Yang penting, ambil pengajaran. Jangan ulangi perbuatan fitnah, tokok tambah, dan mengelirukan dewan.


"Dewan ada peraturan. Institusi ada maruah. Ahli Parlimen kena bertanggungjawab. Noktah!


"Best kan dapat ‘bercuti’ 6 bulan. Aman sikit Parlimen," katanya dalam satu muat naik di Facebook.


Usul berkenaan sebelum ini dibawa oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.


Shamsul ketika membentangkan usul itu berkata, Takiyuddin telah berucap secara mengelirukan dewan berhubung satu kejadian melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Masjid Rusila semasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat dasar pada 22 Okt lepas.


Kata beliau, Ahli Parlimen itu dalam ucapannya telah mengaitkan kejadian tersebut dengan Peristiwa Memali pada 1985, serangan terhadap tempat suci ibadat, dan percubaan menakut-nakutkan rakyat melalui ucapannya yang telah memberi imej negatif terhadap anggota serta imej APMM sebagai agensi dalam perkhidmatan awam.


Bagaimanapun, Takiyuddin yang turut berbahas, memohon agar usul itu dipinda untuk merujuknya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi memberi ruang kepada beliau untuk mempertahankan diri.


Dewan Rakyat juga kecoh selepas beberapa wakil pembangkang membantah usul berkenaan.


Akhirnya, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul mengumumkan perkara itu ditangguhkan ke sesi akan datang selepas Shamsul Anuar memohon agar usul tersebut ditangguhkan.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page