Harga minyak: Pembangkang henti main retorik, amal politik matang - ABIM
- Azuan Ab Rahman

- 9 hours ago
- 1 min read

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABM) mengingatkan pihak pembangkang agar berhenti bermain retorik dalam isu krisis bahan api yang berpunca dari ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
Presidennya Ahmad Fahmi Mohd Samsuddin (gambar) berkata, ketepatan fakta dan kejujuran intelektual bukan lagi pilihan tetapi keperluan asas dalam kepimpinan negara.
Justeru, katanya pembangkang wajar mengamalkan politik matang dengan tampil mengemukakan cadangan dasar yang konkrit dan berasaskan fakta sebenar.
"ABIM mengambil maklum wacana semasa yang mengaitkan isu harga minyak dan geopolitik, dengan dakwaan bahawa umat Islam ditipu.
"Islam menuntut umatnya agar tidak mudah diperdaya serta mengangkat prinsip tabayyun, keadilan dan keilmuan dalam menilai sesuatu maklumat dan kepimpinan. Namun penggunaan istilah yang berat dalam ruang awam perlu disandarkan kepada fakta yang sahih serta analisis yang bertanggungjawab.
"Peranan pembangkang sebagai mekanisme semak dan imbang adalah penting khususnya dalam suasana global yang tidak menentu. Peranan itu perlu dilaksanakan secara berwibawa dengan mengemukakan cadangan dasar yang konkrit dan berasaskan fakta bukan sekadar retorik," katanya dalam kenyataan.
Kenyataan tersebut dipercayai sebagai mengulas dakwaan Presiden Pas, Hj Hadi Awang dalam artikelnya yang mendakwa tiada sebab kerajaan menaikkan harga minyak susulan kapal Malaysia tidak termasuk dalam senarai sekatan laluan di Selat Hormuz.
"Perbincangan awam sepatutnya ditumpukan kepada usaha memperkukuh perlindungan kepada golongan rentan, menjamin keselamatan tenaga serta memastikan keseimbangan antara kebajikan rakyat dan kelestarian fiskal," tambah beliau.
Sementara itu, ABIM menyeru masyarakat mengamalkan prinsip tabayyun serta bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat di samping mengamalkan gaya hidup berhemah dalam penggunaan sumber.
Pihaknya juga mengajak semua pihak termasuk kerajaan, pembangkang, masyarakat madani dan rakyat keseluruhannya untuk berganding bahu menghadapi krisis tenaga yang dijangka berpanjangan.




Comments