
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan pembalakan berlaku secara berleluasa ketika Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor merupakan sebahagian daripada kerajaan Kedah yang diterajui Pakatan Rakyat pada penggal 2008 hingga 2013.
Saifuddin yang merupakan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu berkata, selepas Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum Ke-12 di Kedah, Sanusi ketika itu dilantik sebagai setiausaha politik kepada Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Walaupun berada di bawah Pakatan Rakyat, kerajaan Kedah ketika itu dikuasai oleh PAS, memandangkan PAS mempunyai 16 kerusi berbanding KEADILAN (3) dan DAP (1).
Di bawah pentadbiran PAS, banyak hutan simpan yang menjadi mangsa pembalakan, termasuk di kawasan Saifuddin di Parlimen Kulim-Bandar Baharu.
"Di kawasan saya ada Hutan Simpan Gunung Bongsu. Diwarta sebagai hutan simpan oleh British lagi. Pada 2008-13, Menteri Besar Kedah sekarang adalah setiausaha politik Menteri Besar, kerajaan Kedah telah membatalkan pewartaan sebahagian kawasan hutan simpan ini dan dibenarkan membalak. Pembalakan juga berlaku di Gunung Inas.
"Hasilnya? Masalah banjir yang tak berkesudahan. Sungai jadi cetek tak mampu tampung aliran air ketika hujan lebat. Kehidupan harian penduduk terjejas," katanya menerusi akaun Facebook miliknya.
Saifuddin turut menamakan kawasan perkampungan yang menjadi mangsa banjir akibat daripada pembalakan tersebut antaranya Kampung Paya, Ulu Mahang; Kg Seri Bongsu di daerah Kulim; Cherok Meranti; Sungai Batu; Sungai Buluh; Terap Batu 10 dan Sungai Kob.
Disebabkan itu, selepas berlakunya pertukaran kerajaan, Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku Menteri Besar membuat keputusan untuk membatalkan konsesi balak serta-merta.
"Pengumuman Menteri Besar Kedah untuk menimbang buka semula lesen balak saya sambut dengan kebimbangan. Ini kerana polisi kerajaan pimpinan Mukhriz Mahathir telah membekukan lesen balak.
"Pembalakan, bukit di botak, kawasan kuari...ini antara penyumbang utama banjir.
Adalah diharap Menteri Besar Kedah yang belum dua minggu pegang jawatan tidak teruskan polisi yang diumum," katanya lagi.