Pembaharuan bandar: Tidak usir pemilik rumah, komposisi kaum tidak berubah
- Suara Keadilan
- Mar 10
- 2 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulagi penegasannya bahawa penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar tidak memaksa mana-mana pemilik rumah atau tanah untuk diusir dari kawasan penempatan asal mereka.
Hal itu ditegaskan melalui Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah. Katanya, PM turut menjamin rang undang-undang itu tidak akan mengubah peratusan pemilikan Bumiputera di sesuatu kawasan atau mengubah komposisi kaum di sesuatu kawasan.
"Justeru itu, tidak timbul isu Melayu Bumiputera dipinggirkan daripada arus kemajuan bandar kerana matlamat utama untuk memastikan peningkatan kualiti hidup masyarakat bandar sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat Melayu itu sendiri," katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.
Sebelum ini penggubalan rang undang-undang yang telah dimulakan sejak kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu menjadi pertikaian dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang dengan naratif "orang Melayu akan terpinggir dari bandar' terutamanya membabitkan peratusan persetujuan pemilik bangunan untuk dibangunkan semula diturun daripada 100% kepada 80%.
Sebelum ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika mempertahankan rang undang-undang itu berkata kerajaan akan mencadangkan tiga tahap peratusan persetujuan mengikut usia bangunan.
"Kalau bangunan kurang 30 tahun (memerlukan) 80% pemilik menyatakan persetujuan, baru dimulakan rundingan.
"Bagi bangunan melebihi 30 tahun, 75% (pemilik) perlu bersetuju dan bagi rumah yang terbiar dan terbengkalai, 51% iaitu majoriti mudah diperlukan," kata Anwar di Dewan Rakyat pada 25 Februari.
Dalam pada itu Tunku Nashrul turut mengulangi peringatan Perdana Menteri agar setiap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan fitnah yang tidak ada asas sama sekali.
Contoh terbaru katanya, hantaran seorang individu di laman sosial berhubung kegusaran awam mengenai azan.
Menurutnya, naratif seperti ini akan muncul setiap kali tiba musim pilihanraya dan budaya seperti itu perlu dihentikan segera bagi mengelak kesan buruk kepada masyarakat.
Selain itu kata beliau, masyarakat digesa tidak terus terperdaya dengan fitnah dan diminta mengangkat budaya berfikir dan menolak sebarang kegiatan yang memecah belah umat.
"Madrasah Ramadan menyeru untuk mengangkat budaya berfikir dan menolak kegiatan yang memecah belah umat teramsuk gejala fitnah," ujarnya.
Terdahulu laporan media menyatakan dakwaan azan tidak kedengaran di Masjid Kampung Ayer Kuning, Taiping, Perak sejak beberapa hari lalu sebenarnya berpunca daripada masalah teknikal pada sistem pembesar suara luar.
Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata kerja-kerja pembaikan terhadap sistem siar raya masjid sedang dijalankan.
Comments