Pelarasan tarif air: B40, penggunaan rendah tidak terjejas - Izham Hashim
- Suara Keadilan

- Jul 12
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor terus komited memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, termasuk dalam isu berkaitan pelarasan tarif air yang dijangka dilaksanakan tidak lama lagi.
Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Datuk Izham Hashim (gambar) memberi jaminan bahawa sekiranya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meluluskan pelarasan tersebut, ia tidak akan menjejaskan dua ketegori pengguna utama.
"Golongan yang tidak terkesan termasuk penerima Skim Air Darul Ehsan (SADE) iaitu golongan B40, serta pengguna domestik dan komersial yang menggunakan kurang daripada 20 meter padu air," katanya dipetik.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan kadar tarif air baharu secara berfasa bagi lebih lapan juta pengguna bermula 1 Februari 2024, melibatkan 2.66 juta akaun di negeri itu.
Walaupun dilihat sebagai keputusan kurang popular, ia perlu dilaksana bagi memastikan perkhidmatan pengurusan air untuk pengguna dapat beroperasi dengan baik.
"Syarikat pengurusan air beroperasi dalam keadaan rugi kerana tarif air tidak dinaikkan terlalu lama.
"Untuk fasa ini, sepatutnya dilaksanakan pada 1 Julai, tetapi terdapat sedikit kelewatan. Sekarang kita menunggu kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)," jelas Izham.
SPAN dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan telah menerima permohonan semakan semula kadar tarif daripada operator air di 10 negeri, iaitu, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang.
Exco Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Izani Husin dipetik laporan Awani semalam menegaskan, pelarasan tarif air bagi memastikan perkhidmatan bekalan air dapat ditingkatkan untuk kebaikan rakyat.









Comments