Pelantikan politik tidak wajar disamakan amalan rasuah - AMK
- Suara Keadilan

- May 30
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) berpandangan pelantikan politik tidak sewajarnya disamakan dengan amalan pemberian ganjaran atau rasuah, sebaliknya ia tetap perlu dibuat berasaskan kelayakan dan kemampuan untuk berkhidmat.
Naib Ketuanya, Nabil Halimi berkata, melantik individu bukan partisan juga tidak menjamin kebebasan daripada sikap berat sebelah atau penyalahgunaan kuasa.
"Melantik seseorang yang aktif secara politik tidak semestinya bermakna individu tersebut tidak layak atau bahawa sistem telah terjejas.
"Matlamat sebenar adalah untuk memastikan setiap pelantikan, sama ada bersifat politik atau sebaliknya, berasaskan kelayakan, akauntabiliti dan keupayaan untuk berkhidmat kepada rakyat dengan berkesan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu sebagai mengulas serangan kumpulan pemerhati rasuah, Combat Corruption and Cronyism (C4 Center) yang mengkritik ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kongres Tahunan KEADILAN mengenai pelantikan ketua kampung.
C4 dilaporkan mengecam Anwar susulan beliau menceritakan kisah tentang menghadiahkan jawatan ketua kampung kepada seorang penyokong setia parti.
Kumpulan itu juga mengkritik kenyataan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Kamil Munim yang mendakwa C4 telah tersalah tafsir konteks kenyataan PM dan gopoh dalam memberikan kritikan.
Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan itu, pelantikan politik tersebut hanyalah melibatkan jawatan ketua kampung bagi memastikan pemimpin akar umbi terus berperanan sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat.
Katanya, Anwar tidak menggunakan jawatan penting seperti menteri besar dan ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk tujuan ganjaran sedemikian.
Nabil yang tampil mempertahankan Kamil berkata, KEADILAN tetap berpegang kepada prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik serta komited kepada reformasi yang lebih luas.
"Kami mendengar dan mengambil serius kebimbangan yang dibangkitkan oleh C4. Walaupun pelantikan ketua kampung bertujuan untuk memperkukuh wakil akar umbi dan memastikan kesinambungan perkhidmatan, kami mengakui keperluan untuk ketelusan dan reformasi institusi jangka panjang demi mengekalkan kepercayaan awam," katanya.
Jelas beliau, reformasi merupakan satu proses jangka panjang yang memerlukan kerjasama antara peringkat persekutuan, negeri dan tempatan, bukan sekadar pengumuman.
"Menjadikan individu tertentu sebagai sasaran tanpa mengambil kira sepenuhnya kerumitan struktur dan politik yang terlibat berisiko menjejaskan agenda reformasi yang sama-sama kita harapkan akan berjaya," katanya lagi.









Comments