
Pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri yang juga bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersifat nepotisme.
Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sarawak, Abun Sui Anyit menegaskan pelantikan Nurul Izzah tidak menyalahi mana-mana undang-undang.
Malah bekas Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (PAC) itu sendiri mempunyai kelulusan, bakat dan pengalaman yang diakui banyak pihak untuk melayakkannya dilantik membantu Perdana Menteri.
"Mereka membuat kritikan tanpa mempertimbangkan usaha murni Perdana Menteri ke-10 menawarkan jawatan tersebut tanpa gaji serta elaun dan tanpa kuasa.
"Pihak yang mengkritik secara meruntuhkan ini seolah-olah tidak mempedulikan kerelaan Nurul Izzah Anwar yang sudi dan sanggup menerima tawaran itu tanpa gaji dan kuasa," katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu turut mewakili pendirian Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP-Lantikan) wakil Sabah-Sarawak KEADILAN Malaysia sesi 2022-2025.
Pembangkang menjadikan isu pelantikan Nurul Izzah sebagai bahan serangan terhadap usaha Perdana Menteri memulihkan dan memacu semula ekonomi negara.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan menyifatkan lantikan itu sebagai amalan nepotisme Anwar dan pengkhianatan kepada rakyat Malaysia.
Mengulas tuduhan itu, Abun berkata beliau percaya Anwar telah memahami malah menghayati apa itu nepotisme yang di tentangnya dalam perjuangan reformasi selama ini.
Justeru tegasnya tidak wajar kelebihan dan bakat yang ada pada Nurul Izzah ditolak mentah-mentah semata-mata dengan alasan mengelak nepotisme.
"Justeru, pelantikan ini tidak ada maksud atau perbuatan beliau yang melebihkan Nurul Izzah daripada yang lain kerana Nurul memang ada kelayakan dan pengalaman, malah tiada gaji, elaun dan kuasa," katanya.
"Pelantikan yang sah di sisi undang-undang tetapi salah secara moralnya adalah apabila jawatan itu diberi gaji yang kadangkala melebihi RM27,000 sebulan.