top of page

Pelantikan Ketua Hakim Negara libatkan Agong, PM, JAC, jangan salahkan PM sahaja

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 9
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Semua pihak perlu akur bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara adalah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) seperti diperuntukkan di bawah Perkara 122P(1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu dibuat atas nasihat Perdana Menteri (PM) setelah perundingan dengan Majlis Raja-Raja.


Sebagai Ahli Legislatif di Dewan Negara, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (gambar) menjelaskan, pihak kedua yang terlibat dalam proses pelantikan ialah Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), yang berperanan mencadangkan nama-nama calon kepada PM.


Ujar beliau lagi, suruhanjaya tersebut beroperasi dalam kerangka yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.


''Pihak ketiga (yang terlibat) pula adalah Institusi Perdana Menteri itu sendiri yang menasihati YDPA untuk melantik Ketua Hakim Negara dan ketua-ketua hakim kanan yang lain.


''Jadi dalam isu yang dikatakan kelewatan pelantikan Ketua Hakim Negara setelah persaraan wajib (Tun Tengku Maimun Tuan Mat), ada pihak yang menuntut supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan.


''Kita menghormati pandangan dan pendapat semua pihak, tetapi saya sebagai Ahli Legislatif di peringkat Dewan Negara dan sebelumnya tiga penggal di peringkat Dewan Rakyat, saya melihat banyak kes-kes di Malaysia yang menyentuh mengenai Perlembagaan ini dan tuntutan menubuhkan RCI.


''(Penubuhan RCI) ini hanya boleh dilihat dalam konteks sekiranya sesuatu tindakan itu dianggap melanggar prinsip dan Perlembagaan Persekutuan,'' jelas beliau lagi dalam satu siaran video.


Pembangkang dan sebilangan ahli parlimen kerajaan baru baru ini mengkritik kelewatan pelantikan Ketua Hakim Negara dan berteori telah berlakunya krisis dalam badan kehakiman.


Semalam pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak kebimbangan yang dibangkitkan oleh mantan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mengenai kemelut dalam badan kehakiman.


AGC menyatakan bahawa perbandingan dengan skandal VK Lingam sebagaimana dirujuk daripada kenyataan Rafizi amat tidak wajar kerana tidak berlaku sebarang dakwaan kecurangan penghakiman berbanding peristiwa sedekad lalu.


Dalam satu kenyataan, jabatan itu mengakui dakwaan terhadap seorang Hakim Mahkamah Persekutuan yang didakwa campur tangan dalam keputusan dan pelantikan kehakiman adalah perkara serius.


AGC bagaimanapun menjelaskan perbincangan dalam Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), lokasi dakwaan itu dibangkitkan adalah berstatus rahsia dan dilindungi undang-undang.


Menurut jabatan itu lagi, dakwaan tersebut tidak boleh dianggap sebagai salah laku yang telah dibuktikan atau menjejaskan kebebasan badan kehakiman.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page