top of page

Pelantikan Hakim dan Persepsi: Jangan Goyahkan Institusi Demi Gerakan Politik

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 7 days ago
  • 3 min read

Oleh: Andre Lai Chen Heng


ULASAN: Saya menulis sebagai seorang rakyat biasa yang bukan berlatarbelakangkan undang-undang. Tetapi saya mengikuti isu pelantikan hakim dengan teliti, dan saya perasan bagaimana sesuatu perkara yang kompleks telah disampaikan kepada rakyat secara terlalu mudah, seolah-olah sistem kehakiman negara sedang dikawal oleh tangan ghaib.


Pada 7 Julai lalu, sebuah sidang media diadakan untuk mengkritik pelantikan hakim, dan dari sudut saya sebagai pembaca biasa, pendekatan yang digunakan menyerupai apa yang disebut dalam dunia politik sebagai “flanking manoeuvre” — satu strategi untuk menyerang dari sisi, bukan secara langsung. Dalam hal ini, bukan menuduh secara terus tetapi menggunakan saluran awam untuk membina persepsi, agar tekanan kepada kerajaan datang bukan dari dalam, tetapi dari luar.


Strategi kreatif dari sudut politik


Cukup terbukti apabila ada gerakan untuk mendapatkan sokongan ahli-ahli parlimen untuk menyokong penubuhan RCI. Strategi ini nampak kreatif dari sudut politik. Tetapi dari sudut kestabilan negara, ia membawa risiko besar. Rakyat biasa mudah keliru bila sesuatu isu undang-undang digambarkan sebagai krisis moral, walaupun proses sebenar masih mengikut saluran perundangan. Bila kita disogok dengan satu naratif penuh emosi dan terputus dari konteks sebenar, kita boleh hilang kepercayaan kepada institusi — bukan kerana institusi itu salah, tetapi kerana tafsiran orang terhadapnya tidak tepat.


Saya telah membaca kenyataan rasmi dari Jabatan Peguam Negara (AGC) bertarikh 8 Julai. Ia menjelaskan bahawa pelantikan hakim-hakim tertinggi dilakukan mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, dan ia melibatkan nasihat Perdana Menteri selepas berbincang dengan Majlis Raja-Raja. Malah, proses ini tertakluk kepada Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.


AGC turut menyatakan bahawa mesyuarat yang diadakan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dengan notis singkat tetap sah sekiranya dipersetujui semua ahli. Tuduhan campur tangan atau manipulasi hanya spekulasi setakat ini. Jadi kenapa kita mahu bertindak seolah-olah sistem ini sudah rosak hanya kerana seseorang buat sidang media dan menyerahkan surat?


Maklumat mesyuarat bocor

Penulis - Andre Lai Chen Heng
Penulis - Andre Lai Chen Heng

Lebih merisaukan, maklumat rasmi; tidak kira dalam bentuk surat, memo mahupun apa jua jenis rakaman; diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) telah bocor. Ini adalah satu kesalahan serius — tetapi nampaknya tidak ramai yang fokus pada kesalahan ini. Semua lebih sibuk membincangkan “persepsi” dan “krisis”, walhal yang lebih penting ialah memastikan sistem dipelihara dan diperbaiki, bukan digoncang dari luar.


Kehadiran Nurul Izzah Anwar dalam perarakan Majlis Peguam pada pagi 14 Julai menunjukkan keazaman untuk mempertahankan reformasi kehakiman. Reformasi mesti diteruskan secara berperingkat dan berdasarkan fakta. Sebarang siasatan, harus dilakukan mengikut saluran yang betul — contohnya tribunal mengikut Perkara 125, bukan terus lompat ke RCI. Sekali lagi, RCI diperlukan untuk isu yang mengancam keselamatan negara.


Bagi saya, ini contoh suara dalam kerajaan yang masih waras dan mahu perbaiki sistem, bukan meruntuhkannya. Sebab itu saya percaya AGC dan institusi Parlimen perlu membantu Perdana Menteri dengan:


  1. Menjelaskan secara telus proses pelantikan hakim.

  2. Menyiasat kebocoran maklumat rasmi.

  3. Menyalurkan sebarang pertikaian kepada jawatankuasa Parlimen.

  4. Menolak tekanan yang bersifat persepsi dan emosi.


Pendek kata, ia bertujuan untuk memperkukuhkan kuasa JAC sebagai badan menasihati kerajaan Mengenai perlantikan hakim kanan.


Namun, apa yang berlaku, adalah di luar kuasa penentuan oleh AGC atau JAC. Strategi “flanking” ini semakin menjadi satu taktik kebiasaan dalam politik— di mana sesuatu yang sah dari segi undang-undang ditentang menggunakan persepsi luaran — akhirnya bukan hanya kerajaan yang goyah, tetapi seluruh kepercayaan rakyat terhadap sistem juga runtuh.


Reformasi tidak boleh dibina atas krisis yang dicipta. Ia mesti lahir dari semangat memperbaiki, bukan memburukkan. Kita perlukan perubahan yang berasaskan fakta, bukan naratif yang dibina untuk membakar sentimen awam.


Apa jua yang telah berlaku selama ini, baik diambil pedoman untuk memantapkan sistem sedia ada. Itulah erti reformasi.


Penulis merupakan Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan yang juga Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page