top of page

Pelancaran jentera PRN KEADILAN mula 7 Julai, pemilihan calon 6 Julai



Jentera pilihanraya KEADILAN akan dilancarkan dalam minggu ini bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berlangsung pada 12 Ogos ini.


Menurut Pengarah Pilihanraya KEADILAN, Rafizi Ramli, parti itu telah pun memulakan siri ceramahnya pada 4 Julai lalu di DUN Sikamat, Negeri Sembilan dan akan meneruskan dengan pelancaran jentera pilihanraya, seterusnya pemilihan calon untuk kerusi kerusi DUN.


"Jelajah pertama di Sikamat telah diikuti secara langsung oleh 5,000 pelayar dalam talian melalui pelbagai platform media sosial.


"Dengan tema “Malaysia Madani”, jelajah ini menjadi platform untuk kepimpinan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menerangkan kepada orang awam mengenai usaha dan pembaharuan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan dalam tempoh 8 bulan memerintah," kata Rafizi dalam kenyataan pagi ini.


Manakala jentera pilihanraya pula katanya, akan dilancarkan serentak di beberapa buah negeri.


"Pelancaran akan berlangsung secara serentak pada 7 Julai bagi Negeri Kelantan dan Terengganu, 8 Julai bagi Negeri Kedah dan Pulau Pinang dan 9 Julai bagi Negeri Selangor dan Negeri Sembilan.


"Majlis pelancaran ini akan bermula jam 9 malam dan terbuka untuk dihadiri masyarakat sekitar. Acara kemuncak program ialah penyerahan bahan-bahan kempen oleh wakil kepimpinan pusat KEADILAN kepada Pengarah Pilihan Raya KEADILAN bagi DUN yang berkenaan," katanya.


Bagi proses pemilihan calon, kata Rafizi, KEADILAN akan melakukan proses sama sebagaimana Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 lalu iaitu dengan membuka pencalonan kepada semua ahli KEADILAN.


Dengan cara itu, katanya, KEADILAN akan dapat meyakinkan bakat-bakat dalam kalangan anggota parti dan rakyat biasa untuk tampil menyahut seruan berkhidmat kepada masyarakat melalui platform parti tersebut.


"Untuk itu bagi menghadapi PRN yang akan berlangsung di enam negeri pada Ogos ini, saya menjemput mana-mana anggota KEADILAN yang ingin menawarkan diri sebagai calon KEADILAN untuk menghantar borang pencalonan mengikut kaedah yang telah ditetapkan oleh Majlis Pimpinan Pusat," katanya.


Rafizi berkata, mana-mana anggota KEADILAN yang berminat boleh menawarkan diri sebagai calon dengan mengisi borang dalam talian yang boleh dilayari melalui pautan www.calonkeadilan.org. Borang ini boleh diakses bermula hari ini, 6 Julai 2023 sehingga tarikh tutup permohonan iaitu 10 Julai 2023, jam 5 petang.


Antara syarat kelayakan yang perlu dipenuhi, katanya, individu yang memohon mestilah anggota KEADILAN yang berusia 18 tahun ke atas, tidak muflis yang telah disahkan oleh Jabatan Insolvensi, tidak memiliki rekod jenayah (selain daripada sabitan melibatkan kepentingan rakyat) dan individu tersebut mesti mengisytiharkan harta serta bersedia untuk menandatangani bon ikrar setia sebagai Wakil Rakyat KEADILAN.


"Selain itu, kepimpinan KEADILAN di semua peringkat juga boleh menamakan calon-calon yang telah dipersetujui di peringkat jawatankuasa masing-masing untuk diangkat kepada pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat.


"Proses ini terbuka kepada Jawatankuasa Cabang bagi kawasan yang ditandingi KEADILAN, Majlis Pimpinan AMK Pusat (MPAMK) dan juga Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) KEADILAN.


"Penamaan calon-calon oleh Cabang, MPAMK atau MPWP ini perlu dibuat secara rasmi dan disahkan melalui minit mesyuarat yang ditandatangani oleh semua ahli mesyuarat yang hadir. Minit mesyuarat ini perlu diserahkan kepada Jawatankuasa Calon selewatlewatnya pada jam 5 petang,10 Julai 2023.


"Perlu diingatkan bahawa semua nama yang dicalonkan oleh organisasi ini tetap perlu mengisi secara individu borang dalam talian kerana borang ini akan menjadi sumber utama untuk JPRP mendapatkan senarai calon," katanya.


Proses saringan pula, kata Timbalan Presiden KEADILAN itu akan dilakukan secara telus oleh Jawatankuasa Calon yang dipengerusikan oleh beliau selaku Pengarah Pilihanraya dan dianggotai oleh semua Naib Presiden KEADILAN seramai 7 orang.


"Seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Parti, kuasa untuk memilih calon adalah hak mutlak Presiden KEADILAN. Justeru Jawatankuasa Calon bertanggungjawab untuk membuat penapisan dan menyenarai pendek 3 calon terbaik untuk diangkat kepada Presiden KEADILAN yang seterusnya akan memuktamadkan satu nama sebagai calon," katanya lagi.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page