
Pelan JENDELA Fasa 1 di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital telah berjaya menyediakan akses gentian optik kepada 7.5 juta premis di seluruh negara.
Menurut Menteri Ahmad Fahmi Fadzil (PH - Lembah Pantai) kadar kelajuan purata jalur lebar mudah alih juga ditingkatkan kepada 35Mbps dan meluaskan liputan jalur lebar 4G kepada 96.9% kawasan berpenduduk di seluruh negara.
"Manakala, Pelan JENDELA Fasa 2 (2023-2025) pula telah menetapkan sasaran untuk memberikan akses gentian optik kepada 9 juta premis di seluruh negara, meningkatkan kadar kelajuan purata jalur lebar mudah alih kepada 100Mbps melalui pelaksanaan 5G, dan meluaskan liputan jalur lebar kepada 100% kawasan berpenduduk di seluruh negara.
"Kerajaan juga telah menambah baik capaian internet di kawasan pedalaman melalui teknologi satelit di 839 lokasi di seluruh negara, yang pada asalnya dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2023 namun telah berjaya disiapkan sepenuhnya pada tahun 2022.
"Di bawah sasaran JENDELA Fasa 2 (2023-2025) pula Kerajaan sedang merangka solusi yang bersesuaian menggunakan pelbagai teknologi bagi penyediaan perkhidmatan internet bagi baki 3% di kawasan berpenduduk.
"Penyediaan infrastruktur komunikasi di lokasi-lokasi ini adalah mencabar dari segi keadaan muka bumi yang berbukit bukau, taburan penduduk yang berselerak dengan kepadatan yang rendah selain daripada tiadanya infrastruktur asas yang lain seperti jalan yang berturap dan punca bekalan elektrik yang stabil," katanya dalam sesi penggulungan ke atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi Kementerian Komunikasi dan Digital, di Dewan Rakyat.
Selain itu menurut fahmi, Kerajaan juga sentiasa cakna dan prihatin mengenai perkhidmatan internet jalur lebar di Sabah dan Sarawak yang sering dibangkitkan.
Kerajaan meletakkan perkhidmatan internet jalur lebar sebagai keutamaan dalam memastikan pelaksanaan dan pembinaan teknologi di Sabah dan Sarawak agar berjalan lancar.
Beliau turut berkata setakat suku ketiga tahun 2022, peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sabah telah meningkat kepada 88.06% berbanding 73.41% sebelum pelaksanaan JENDELA manakala peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sarawak telah meningkat kepada 84.68% berbanding 73.67% sebelum pelaksanaan JENDELA pada suku kedua 2020.