Ekonomi Malaysia akan dipacu ke arah ekonomi masa hadapan melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR).
Menurut Perdana Datuk Seri Anwar Ibrahim, NETR akan menjana tenaga boleh baharu yang akan menjadikan negara ini sebagai peneraju sektor berkenaan dalam kalangan negara Asia Tenggara.
Katanya, Projek Flagship Rintis dan inisiatif NETR telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang bertujuan meningkatkan penyertaan industri mengenai hala tuju baharu Kerajaan dalam meneroka sumber tenaga boleh baharu dan membentuk permintaan pasaran, serta mengenal pasti sumber kewangan untuk menangani jurang pembiayaan bagi projek tersebut.
"Fasa Pertama NETR kita akan mengetengahkan sepuluh projek rintis perdana yang strategik dan bernilai tinggi sebagai langkah pelaksanaan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 dengan jangkaan pelaburan bernilai RM25 bilion. Mewujudkan 23,000 pekerjaan berkualiti tinggi, dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida setara melebihi 10,000 gigagram secara bertimbunan (cumulative)
"Peluncuran NETR Fasa Pertama ini akan diadakan pada 27 Julai 2023 dan disusuli oleh peluncuran NETR Fasa Kedua pada Ogos 2023," katanya dalam kenyataan petang tadi.
MTEN juga, kata PM, akan terus merumuskan langkah dan inisiatif baharu untuk menangani pelbagai permasalahan melibatkan perekonomian negara dalam memastikan penambahbaikan tatakelola serta perubahan struktur secara teratur demi meningkatkan potensi ekonomi negara.
Selain itu, mesyuarat MTEN juga membincangkan untuk merangka perundangan berhubung budaya Ali Baba atau rent-seeking yang menyebabkan negara mengalami kerugian ekonomi.
"Secara prinsip budaya Ali Baba memberi dampak negatif kepada ekonomi dan Kerajaan serius untuk menangani dan membasmi aktiviti ini.
"Anggaran kerugian mencecah sekitar 1% daripada KDNK dan melibatkan aspek perolehan, perlesenan, pemberian permit dan kuota, serta pemberian subsidi dan geran," katanya lagi.
"Oleh yang demikian, menurut Anwar, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara, dengan penglibatan Kementerian dan Agensi Kerajaan akan mengkaji dan merangka dasar serta strategi perundangan yang bersesuaian untuk membanteras aktiviti rent-seeking dan membentangkan cadangan kepada Jemaah Menteri untuk tindakan lanjut.
Comments