top of page

Pelaburan tinggi, inflasi terkawal, defisit fiskal menurun - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 31
  • 2 min read

ree

Ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi yang stabil dan meyakinkan apabila kadar pertumbuhan agregat dianggarkan mencapai 5.0% setahun bagi tempoh 2021 hingga 2025, mengatasi trend sederhana ekonomi global dalam tempoh yang sama.


Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pertumbuhan ini diterajui oleh tiga sektor utama iaitu perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan, manakala dari segi permintaan, ia banyak digerakkan oleh perbelanjaan domestik, khususnya sektor swasta yang mencatat peningkatan 5.7% setahun.


"Ini menunjukkan kekuatan asas ekonomi kita yang didorong oleh permintaan dalaman yang kukuh," ujar Perdana Menteri ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.


Dari segi pelaburan, katanya, Malaysia merekodkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah, iaitu RM384 bilion pada tahun 2024. Secara keseluruhan, RM1.29 trilion pelaburan diluluskan antara 2021 hingga 2024, meningkat purata 23.1% setahun.


Dalam masa yang sama, kadar inflasi kekal rendah pada 1.1% setakat Jun 2025, mencerminkan kestabilan harga serta keberkesanan dasar ekonomi yang dilaksanakan.


Perdana Menteri turut menyentuh cabaran fiskal yang diwarisi oleh pentadbiran MADANI, termasuk jumlah hutang negara melebihi RM1 trilion ketika mengambil alih tampuk pemerintahan.


Katanya, sejak awal pentadbiran kerajaan mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan reformasi fiskal berfasa, termasuk menyasar semula subsidi dan memperkenalkan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang menetapkan penanda aras jelas untuk mengawal perbelanjaan dan meningkatkan hasil negara.


Hasilnya, kadar defisit berjaya diturunkan secara berperingkat setiap tahun iaitu 5.5% pada 2022; 5.0% (2023); 4.1% (2024); dan disasarkan 3.8% pada 2025.


Pengurangan defisit itu, kata beliau, turut menurunkan komitmen hutang baharu kerajaan daripada RM99 bilion (2022) kepada RM92.6 bilion (2023) dan RM76.8 bilion (2024).


"Pencapaian ini meletakkan kita di atas landasan kukuh untuk mencapai sasaran defisit fiskal 3.0% dalam tahun-tahun mendatang, sekali gus memperkukuh kepercayaan pelabur dan kestabilan makroekonomi negara," katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa pencapaian tersebut adalah hasil keberanian politik untuk melakukan reformasi struktur demi masa depan Malaysia yang lebih mampan dan berdaya tahan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page