top of page

Pelaburan perhotelan Al-Rawda TH di Mekah cuai, tidak berhati hati - Ust Syamsul

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Kegagalan mengurus dana Tabung Haji (TH) dengan penuh berhati-hati didakwa berpunca daripada sikap pemimpin politik yang menguruskan TH sebelum 2018 mengkhianati amanah, termasuk dalam urusan pelaburan dan pajakan hotel di Arab Saudi, kata Ustaz Syamsul Firdaus Mohamed Supri.


Mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan itu berkata, pengurusan dana TH sepatutnya dilaksanakan secara berhemah dan setiap keputusan pelaburan perlu melalui penelitian yang sewajarnya.


Beliau berkata, urusan pelaburan atau pajakan hotel di Mekah menimbulkan persoalan apabila pihak yang terlibat sepatutnya terlebih dahulu menyelidik dari segi latar belakang, kemampuan dan kelayakan sebelum sebarang keputusan dibuat.


"Saya rasa itu satu bentuk sikap (yang) tidak berhati-hati dalam proses melaksanakan urusan dan rundingan. Tak disiasat ke pihak di sana itu, yang namanya konon Al-Rawda? Sepatutnya kena selidik, jangan secara rambang, dan perlu pergi rujuk kepada pihak berkuasa di Arab Saudi sana.


"Adakah pihak itu (Al-Rawda) memiliki keupayaan atau (sudah) ada nama? Ini (hanya) diberikan gambaran-gambaran yang indah. Bila saya dengar Al-Rawdah, eh ‘group’ mana ini?

Ustaz Syamsul Firdaus Mohamed Supri
Ustaz Syamsul Firdaus Mohamed Supri

"Saya yakin sebenarnya tidak dibuat penyelidikan terlebih dahulu. Ini (merupakan) satu sikap yang menyalahi tatacara dan juga amanah diberikan," katanya.


Beliau berkata demikian dalam satu siaran video bersama Ketua Penerangan KEADILAN Melaka, Eddiarman Mohd Yunos bagi membincangkan isu berkenaan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH itu.


Mengulas lanjut, Ustaz Syamsul menyifatkan isu pajakan hotel itu merupakan satu bentuk kecuaian dan sikap tidak berhati-hati sekali gus menyebabkan kerugian.


"Sekarang kita nak rujuk undang-undang mana? Itu menjadi satu perkara yang menjejaskan dan merosakkan reputasi.


"Tapi sebenarnya setelah dipindahkan, tengok-tengok tidak ada hasil. Kita tahu kononnya nak pajak (hotel) untuk kegunaan TH pada musim haji, tapi di luar musim haji pun boleh untung.


"Di Mekah ini, industri penginapan (sekiranya mempunyai perancangan pelaburan teliti) berjalan sepanjang tahun. Kalau bulan Ramadan, masyaAllah, untungnya tauke sampai boleh bercuti empat bulan di luar negara," katanya lagi.


Pada 11 Ogos lalu, ketika sesi penerangan mengenai RCI TH, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan menjelaskan, TH sedang meneruskan usaha mendapatkan baki award timbang tara daripada syarikat pemaju hartanah dan pengurusan projek berpangkalan di Arab Saudi, Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co. Ltd termasuk menerusi penjejakan aset selepas syarikat itu hanya membayar SAR14.9 juta daripada award berjumlah SAR899 juta.


Katanya, TH telah mengambil segala langkah penguatkuasaan terhadap Al-Rawda tetapi syarikat itu didapati tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membayar amaun berkenaan.


Zulkifli berkata, laporan RCI telah mengenal pasti Al-Rawda sebagai antara 14 pelaburan bermasalah TH yang dikaitkan dengan kerugian menjangkau berbilion ringgit.


"Pada 2015, 2016 dan 2017, TH telah memajak empat hotel di Mekah dan Madinah dan telah membayar kira-kira RM1.55 bilion secara pendahuluan (upfront) kepada Al-Rawda bagi pajakan selama 10 hingga 18 tahun.


"Ini adalah satu transaksi yang luar biasa dan tidak ‘normal’," katanya dipetik.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page