Pelaburan Neways: Selangor destinasi pilihan sektor teknologi tinggi
- Suara Keadilan

- Jun 21
- 1 min read

Keputusan syarikat global Neways Technologies membuka operasi pertamanya di Asia Tenggara di Klang, merupakan bukti kukuh kekuatan Selangor sebagai destinasi pelaburan utama sektor teknologi tinggi.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, syarikat teknologi berpengkalan di Belanda itu memilih Selangor bagi pengembangan operasinya kerana negeri itu menawarkan gabungan strategik bakat berkemahiran tinggi, infrastruktur bertaraf dunia serta persekitaran dasar yang menyokong pertumbuhan industri.
"Kami amat berbesar hati menyambut Neways sebagai pemain utama dalam ekosistem teknologi tinggi negeri ini.
"Kehadiran mereka bukan sahaja akan merancakkan ekonomi tempatan, tetapi juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat Selangor," kata menerusi satu hantaran di Facebook.
Hantaran itu menyusul lawatan beliau dan delegasi pelaburan Selangor ke Ibu Pejabat syarikat itu pada Jumaat.
Pada lawatan itu beliau turut mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Ketua Pegawai Operasi Neways Technologies, Mr Steven Soederhuizen.
Sebagai rekod, Neways yang memiliki pengalaman lebih lima dekad sejak penubuhannya pada 1969 terkenal sebagai peneraju dalam teknologi misi kritikal untuk industri semikonduktor, pertahanan dan kesalinghubungan mobiliti pintar.
Operasinya di Malaysia yang bermula Mei lalu mengukuhkan keupayaan negara dalam elektronik berketepatan tinggi dan penyambungan kepada pertumbuhan ekosistem semikonduktor.
Sementara itu menurut Amirudin, pada pertemuan bersama Soederhuizen, pihaknya turut memperteguh komitmen untuk terus membangunkan bakat tempatan, merangsang pertumbuhan rantaian bekalan dan menyediakan fasilitasi menyeluruh melalui Invest Selangor.









Comments